PROGRAM SUKARELAWAN PENDIDIK PRSD AFZAN - SK LENJANG

PROGRAM SUKARELAWAN PENDIDIK PRSD AFZAN - SK LENJANG

Pada 26 hingga 28 Jun 2019, sebuah Program Sukarelawan Pembimbing Rakan Siswa Pendidik (PRSd) Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) telah diadakan dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Lenjang. Program sukarelawan tersebut telah disertai oleh 16 orang PRSd bersama empat pensyarah pengiring.

            SK Lenjang merupakan sebuah sekolah murid orang asli (SMOA) yang terletak di pedalaman daerah Kuala Lipis, Pahang. Program sukarelawan ini adalah bertujuan untuk berbakti dan menyumbang kepada masyarakat di samping untuk membimbing dan memberi motivasi kepada murid-murid orang asli untuk berjaya. Program ini disertai oleh 34 orang murid tahun 6 SK Lenjang.

            Pada 25 Jun iaitu sehari sebelum program berlangsung, kami telah mengadakan perjumpaan bersama PRSd untuk mengumpul pakaian terpakai daripada kakitangan IPGKTAA untuk diagihkan sewaktu program tersebut. Selain itu, perjumpaan tersebut juga bertujuan untuk ketua program mengingatkan semula tentatif program dan mempersiapkan alat-alat serta bahan yang akan dibawa ke SK Lenjang. Kami juga membuat latihan tarian sewang untuk mempersembahkannya kepada warga SK Lenjang pada malam terakhir program.

Keesokkan harinya iaitu pada 26 Jun, kami bersarapan pagi sebelum berkumpul di Astaka Khalid al-Walid pada jam 9.30 pagi untuk menunggu ketibaan guru besar SK Lenjang iaitu Encik Hamzah Mat Jusoh. Tepat jam 10 pagi, kami bertolak  ke SK Lenjang menaiki kereta berpacuan empat roda. Kami telah singgah sebentar di SK Betau yang juga merupakan sekolah orang asli untuk menjemput guru pengiring. Kami sempat beramah mesra bersama murid-murid SK Betau sebelum menyambung perjalanan ke SK Lenjang. Pada jam 12.30 tengah hari, kami telah pun sampai di SK Lenjang. Setelah makan tengah hari, perjumpaan bersama guru besar dan beberapa orang guru SK Lenjang telah diadakan. Guru besar memperkenalkan serba sedikit tentang latar belakang SK Lenjang dan seterusnya mengagihkan baju program kepada kami. Seterusnya, setiap seorang daripada kami telah diberikan satu mahupun dua orang adik angkat sepanjang program berlangsung. Program diteruskan dengan sesi perkenalan dan beramah mesra bersama adik angkat masing-masing. Setelah itu, kami beriadah bersama-sama mereka iaitu bermain bola jaring bagi perempuan dan bola sepak bagi lelaki. Pada waktu malam pula, kami membantu murid-murid tahun 6 untuk menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru-guru.

Pada hari Khamis iaitu 27 Jun, kami telah mengadakan aktiviti senam robik bersama peserta program.  Setelah itu, kami telah mengadakan aktiviti sukaneka di padang sekolah. Aktiviti sukaneka seperti belon beracun, getah dalam straw dan banyak lagi dilakukan bersama mereka. Kami meneruskan program dengan mengagihkan pakaian terpakai yang dibawa daripada IPGKTAA kepada para peserta program. Terlihat senyuman yang cukup gembira terukir di bibir setiap daripada mereka. Seterusnya, kami menyambut ketibaan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Lipis iaitu Encik Amin Nollah Lateh untuk bersama-sama melibatkan diri dalam program ziarah cakna.  Setelah itu, kami mengadakan program ziarah cakna ke beberapa perkampungan orang asli yang berdekatan dengan sekolah untuk mengagihkan makanan dan beramah mesra dengan penduduk kampung yang juga merupakan ibu bapa bagi murid-murid di SK Lenjang. Seterusnya, kami dibawa oleh guru besar SK Lenjang ke sungai di hadapan sekolah untuk merasai pengalaman mandi sungai. Pada waktu malam pula, disebabkan persembahan tidak dapat diteruskan atas sebab-sebab tertentu, kami membantu para peserta program dengan kerja sekolah mereka. Seterusnya, kami telah menemubual guru-guru SK Lenjang tentang pengalaman mereka mengajar di SK Lenjang yang merupakan sekolah di pedalaman dan terdiri daripada murid-murid orang asli.

Pada 28 Jun iaitu merupakan hari terakhir program, kami telah memulakan hari tersebut dengan berbual santai bersama adik angkat masing-masing. Setelah itu, kami telah membuat persiapan majlis penutup. Majlis penutup telah dirasmikan oleh PPD Lipis iaitu Encik Amin Nollah. Setelah majlis penutup berakhir, sesi bergambar telah diadakan bersama para guru SK Lenjang dan para peserta program. Kami telah bertolak pulang pada jam 11.30 pagi dan sampai di IPGKTAA pada jam dua petang.

 

Started Ended
Number of participants
60
Service hours
960
Location
Malaysia

Share via

Share