
Jeti Khairul Insan
Projek SWA yang berlandaskan "Corporate Social Responsibility" (CSR) dan "Sustainable Development Goals" (SDG). Kami telah memilih untuk membuat satu projek di Madrasah Khairul Insan, Jenagor, Kuala Berang, Terengganu. Madrasah ini merupakan pusat pemulihan dadah dan pemulihan akhlak. Madrasah ini telah diasaskan oleh En Zulkifli Ismail dan mula beroperasi sejak tahun 1997. Madrasah ini menggunakan konsep kerohanian dalam memulihkan penagih dadah. Selain itu, mereka juga menubuhkan kumpulan Dendang Anak untuk mengisi masa lapang para penghuni madrasah ini. Madrasah ini mula menjadi tumpuan pelancong kerana terdapat makam penulis Batu Bersurat iaitu Sharif Muhammad al-Bahgdadi. Berdasarkan pemerhatian dan kajian kami semasa lawatan di kawasan tersebut jeti kayu di tempat tersebut telah rosak dan hampir roboh. Jeti tersebut berada dalam keadaan yang boleh membahayakan penduduk madrasah tersebut. Malahan, jeti tersebut perlu ditambat di pokok pada musim tengkujuh bagi mengelakkan jeti tersebut daripada hanyut. Oleh itu, kami telah memilih untuk menaik taraf jeti tersebut dengan menggunakan tiang konkrit. Ini adalah kerana jeti ini merupakan pintu utama penduduk Madrasah Khairul Insan menyeberangi ke kampung lain. Jeti yang kami bina ini akan memudahkan mereka melaksanakan tugasan seharian tanpa perlu merisaukan keselamatan mereka ketika berada di jeti tersebut. Jeti yang kami bina ini juga boleh memuatkan lebih banyak pelancong sekaligus dapat menjana lebih banyak pendapatan untuk madrasah tersebut. Selain itu, jeti ini juga boleh dijadikan salah satu mercu tanda Madrasah Jenagor.