Gotong-royong @ Tawau, Sabah
Usaha gigih Majlis Perbandaran Tawau (MPT) menganjurkan gotong-royong mega melambangkan komitmennya selaku pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kebersihan persekitaran sentiasa dipelihara dan dipertingkatkan secara berterusan.
Timbalan Ketua Menteri, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata amalan kerja secara bergotong royong ini merupakan satu bentuk komitmen untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan yang sukar secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.
Menurut Ahli Parlimen Tawau, semangat kesukarelawan amat penting dalam membantu kerajaan membangunkan negeri dan negara ke arah yang lebih baik dan sejahtera.
“Pemilihan slogan ‘Sayangi Tawau Kita’ amat bertepatan untuk peringatan kepada semua, betapa pentingnya kita sama-sama bertanggungjawab untuk meletakkan keprihatinan, komitmen dan usaha bersepadu dalam menjadikan Perbandaran Tawau sebagai sebuah daerah yang bersih, indah, cantik dan menarik untuk keselesaan dan kebanggaan bersama.
Amalan konsep 3R iaitu reduce (mengurangkan), reuse (menggunakan semula) dan recycle (kitar semula) amat penting dalam mengurangkan penjanaan sampah khususnya bahan-bahan yang tidak mudah reput secara semulajadi (non-biodegradeable).
Dengan itu katanya adalah penting untuk masyarakat mengamalkan kitar dan guna semula bahan- bahan yang boleh dikitar atau diguna semula seperti kertas, kaca, plastik, besi, aluminium manakala sisa buangan yang mudah reput secara semulajadi boleh dijadikan kompos untuk memperkayakan lagi kesuburan tanah khususnya tanah pertanian.
Katanya lagi kerajaan yakin sokongan padu dan kerjasama semua pihak terhadap program Gotong Royong Mega bukan sahaja mampu mewujudkan golongan masyarakat yang lebih bertanggungjawab ke atas peningkatan dan penjagaan kebersihan seluruh daerah Tawau ini tetapi dapat menjadikan Tawau sebagai contoh teladan atau ‘ikon’ dalam aspek kebersihan alam.
Dalam program tersebut sebanyak 1.046 tan sampah berjaya dikutip yang meliputi 9 Zon.
Datuk Christina juga turut menyumbang 35- ribu ringgit bagi tujuan membaikpulih 17 buah Roro diseluruh kawasan Tawau.
"SAYANGI TAWAU KITA"