Webinar Pengenalan kepada Sandakan Rovers
Profile picture for user Hanafie Hamadon_1
Malaysia

Webinar Pengenalan kepada Sandakan Rovers

Satu sesi perkongsian ilmu telah diadakan di atas platform Google Meet untuk mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli baharu pengakap kelana daerah Sandakan. Objektif penganjuran webinar ini ialah menerangkan asas kepengakapan, menjelaskan peranan pengakap kelana dalam organisasi daerah dan mengeratkan hubungan sesama ahli krew.

 

Saya sebagai Pesuruhjaya Pengakap Daerah Sandakan memuji usaha Majlis Pengakap Kelana Daerah Sandakan yang diketuai oleh Saudara Awang Azmi bin Awang dalam menganjurkan program dalam talian sesuai dengan norma baharu. Saya turut meluahkan rasa terharu atas kesudian ramai ahli baharu mendaftar sebagai pengakap kelana walaupun negara Malaysia masih mengenakan sekatan pergerakan dan aktiviti di kala Pandemik Covid-19 melanda.

 

Sesi kedua diisi dengan aktiviti taaruf yang dikendalikan oleh Saudara Awang Azmi. Semua ahli kelana diberikan untuk memperkenalkan diri. Kelihatan ahli-ahli baharu masih sedikit kekok pada permulaannya. Namun keadaan semakin rancak di akhir sesi. Setiap ahli menerangkan sebab mengapa mereka berminat menyertai Pasukan Pengakap kelana Daerah Sandakan. Aktiviti yang menarik, pengalaman baharu dan pembentukan jati diri menjadi sebab utama.

 

Saudara Mohd Razali bin Kamlon meneruskan sesi ketiga dengan tajuk “Hala Tuju Pengakap Kelana”. Beliau menerangkan asas-asas pengakap seperti visi, misi, prinsip, kaedah berpengakap, persetiaan dan undang-undang pengakap. Beliau juga memperkenalkan inisiatif Better World Framework dan Skim Latihan Pengakap Kelana.  Para peserta tekun mengikuti penerangan yang diberikan oleh beliau.

 

Di akhir sesi, Saudara Aziman bin Ali memperkenalkan barisan kepimpinan pengakap kelana mengikut krew dan Majlis Kelana Daerah. Selain itu, beliau juga membentangkan takwim aktiviti pengakap kelana Sandakan bagi tahun 2021. Semua ahli samada baharu mahupun yang lama diseru untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan nanti.

 

Webinar sebegini merupakan program yang tepat dalam kita berpengakap pada saat ini. Sungguhpun kita tidak dapat bersemuka secara fizikal, peluang pembelajaran masih terbuka di dalam talian. Lebih banyak webinar akan dianjurkan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran ahli dalam kepengakapan dan isu-isu semasa.

Number of participants
1
Service hours
6
Location
Malaysia
Topics
Youth Programme
Youth Engagement
Growth

Share via

Share