Ujian Lencana Kegiatan Atas Talian 2020
Sejak 18 March 2020, pihak kerajaan telah memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan demi mengatasi masalah Penyakit COIVD–19 yang merebak di Negara kita ini. Untuk mengikut SOP yang ditetapkan, aktiviti pengakap juga perlulah berubah untuk mengadaptasi norma baru kehidupan. Pada 1 Ogos 2020, Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka Daerah Kota telah mengadakan Ujian Lencana Kegiatan atas talian selama 2 hari iaitu dari 1 Ogos 2020 hingga 2 Ogos 2020.
Aktiviti ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pengakap supaya menyertai aktiviti pengakap walaupun berada di rumah masing-masing. Selain itu, ujian ini juga membenarkan peserta-peserta melegakan fikiran kerana ujian ini adalah berdasarkan minat-minat para pengakap. Tambahan pula lencana ini merupakan lencana wajib diambil oleh setiap Calon Pengakap Raja. Oleh itu, aktiviti ini diadakan untuk memastikan para Calon Pengakap Raja menyempurnakan Lencana Kegiatan untuk menjejak ke arah Anugerah Pengakap Raja. Sebelum ujian ini diadakan, saya sebagai ketua kursus telah mengingati para peserta supaya berlatih untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang-bidang yang akan dilakukan semasa ujian melalui applikasi Whatsapp. Peserta dibenarkan memilih salah satu daripada alatan muzik, seni pertahanan diri dan tarian tradisional.
Pada 1 Ogos yang lalu, aktiviti kami telah bermula pada 10.00 pagi. Saya bermula dengan taklimat ujian dan perkenalan para penguji. Penguji-penguji tersebut adalah pakar dalam bidang-bidang yang diceburi seperti Taekwando, Piano, Tarian Zapin dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti kami diteruskan dengan persembahan oleh setiap peserta mengenai bidang mereka masing-masing. Peserta-peserta telah berjaya menyampaikan persembahan mereka. Walau bagaimanapun, terdapat juga peserta yang tidak dapat menyampaikan persembahan mereka dengan sempurna kerana Internet yang lemah. Oleh itu, kami telah membenarkan mereka yang mempunyai masalah tersebut menghantar video melalui emel sebelum ujian ini tamat pada 2 Ogos 2020. Sesi hari pertama kita tamat pada 8.00 ptg dan kami telah mengadakan mesyuarat yang seterusnya bersama Pesuruhjaya Daerah Kota, Ir, Lim Keng Boon dan Penolong Pesuruhjaya Daerah Unit Program, Mdm Lee Way Chin serta para penguji mengenai sesi hari kedua. Pada hari kedua, kami telah bermula aktiviti kita pada 10.00 pagi. Sesi hari kedua juga dimulakan dengan taklimat kepada para peserta dan diikuti oleh persembahan setiap peserta. Sesi hari kedua tamat pada pukul 6.00 petang. Selepas tamat sesi hari kedua, kami telah mengadakan mesyuarat mengenai kelemahan-kelemahan yang berlaku sepanjang 2 hari ini. Hal ini adalah untuk penambahbaikan supaya meningkatkan kualiti aktiviti atas talian. Aktiviti ini tamat pada 10.00 malam selepas penguji memberi markah kepada peserta situasi khas.
Aktiviti ini bukan setakat memberi ujian kepada pengakap malah aktiviti ini telah membantu melegakan fikiran pengakap kerana melakukan minat mereka masing-masing. Sepanjang persediaan ujian ini, pengakap juga mempunyai peluang kepada semua peserta supaya bersenam terutamanya mereka yang mempersembahkan tarian dan seni pertahanan diri. Hal ini amat penting khususnya pada waktu kritikal ini. Selepas aktiviti ini, para peserta dapat mengetahui budaya warisan tradisional seperti tarian. Tambahan pula, mereka dapat memakai Lencana Kegiatan dan bersedia untuk Lencana Tertinggi yang seterusnya lalu menjejak kea rah Anugerah Pengakap Raja.
Perlancaran aktiviti ini merupakan cabaran baru kepada kita sebagai pemimpin. Sepanjang aktiviti ini, saya telah mempelajari cara membimbing aktiviti secara atas talian. Hal ini merupakan pengalaman yang amat baharu dan berguna pada masa depan. Saya amat bersyukur kerana dapat berkhidmat sebagai pengakap kepada generasi muda dengan menjalankan Ujian Kegiatan Atas Talian ini walaupun dalam keadaan kronik ini. Saya juga berasa bangga supaya dapat menolong pengakap-pengakap dalam perjalanan mereka ke arah Anugerah Pengakap Raja. Saya berharap agar penyakit COVID-19 ini akan dikawal secepat mungkin supaya semua orang dapat hidup dalam keadaan yang sejahtera, aman dan damai. Saya juga akan berkhidmat sebagai pengakap pada masa depan dalam aktiviti pengakap atau aktiviti badan lain.