SEMINAR Bersama Wakil Pengakap Kelana Negeri 2017
Mei 28, 2017 - Bertempat di Ibupejabat Persekutuan Pengakap Malaysia (Rumah BP), Jalan Hang Jebat telah berlangsungnya Bengkel Pengurusan Pengakap Kelana Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2017.
Bengkel yang julung kali diadakan telah berjaya menghimpun seramai 35 orang wakil Pengakap Kelana yang mewakili Majlis Pengakap Kelana Negeri masing-masing. Pelbagai sesi soal-jawab dan sidang bengkel telah diadakan sepanjang bengkel pengurusan ini dilangsungkan. Antara sidang bengkel yang diadakan termasuklah Pengurusan dan Profil Organisasi yang dikendalikan oleh Zairi Zaharin (Lee Zairie).
Sidang ini diadakan bagi memberi gambaran awal tentang keperluan utama dalam pembentukkan sesebuah kumpulan atau krew Pengakap Kelana. Terdapat empat elemen utama yang diperbincangkan di dalam sidang yang dikendalikan merangkumi identiti krew, profil dan sejarah krew, carta organisasi krew serta piagam krew. Dalam sidang ini juga, perwakilan didedahkan dengan keperluan dan kepentingan untuk mewujudkan satu identiti krew atau pasukan yang tersendiri yang melambangkan watak krew tersebut.
Selain daripada itu, beberapa isu pengurusan di dalam organisasi juga diperbincangkan bagi memberi gambaran secara menyeluruh mengenai beberapa perkara penting yang selalunya dipandang remeh oleh pengurusan krew kelana. Adalah menjadi harapan agar pematuhan kepada garis operasi standard dipatuhi oleh setiap krew kelana bagi memastikan tiada perbezaan atau percanggahan yang ketara di antara krew-krew Pengakap Kelana wujud, di masa hadapan.