Semaun X Sesat!
Profile picture for user Zunidi Telih_1
Brunei Darussalam

Semaun X Sesat!

Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah mengadakan pertandingan cabaran 'Orienteering' Pengakap Kali Ke-2 bertempat di Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap Kebangsaan, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong yang bertujuan bagi meningkatkan kemahiran asas Ahli-ahli Pengakap di dalam kemahiran membaca peta dan kompas yang bersesuaian dengan sistem nilai dan kaedah berpengakap serta kempen kesedaran mengenai kesihatan di dalam kalangan Ahli-ahli Pengakap.

 

Pertandingan tersebut diketuai dan dikendalikan oleh Pesuruhjaya Pengakap Daerah Temburong, Awang Jurkarnain bin Haji Hussin yang berkhidmat di Out Bound Brunei Darussalam, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam dengan dibantu oleh lima Pegawai Teknikal dari Wilayah Persekutuan Labuan.

 

Ia dibahagikan kepada empat kategori iaitu Bahagian Pengakap Tunas, Bahagian Pengakap Muda, Bahagian Pengakap Remaja dan Bahagian Terbuka Individu Pemimpin bagi Kategori Ahli Pengakap Kelana, Pemimpin Pengakap, Penolong Pemimpin dan Pengakap Dewasa bagi merebut Piala Pusingan Presiden dan Piala Iringan Ketua Pesuruhjaya Pengakap PPNBD bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

 

Pertandingan Cabaran 'Orienteering' merupakan sebahagian program pembangunan PPNBD yang bukan sahaja bagi meningkatkan kaedah berpengakap di dalam kemahiran berpengakap juga memberikan kesedaran mengenai kesihatan malah mengukuhkan tali persaudaraan di kalangan ahli-ahlinya.

 

Menerusi aktiviti berkenaan, Ahli-ahli Pengakap dapat menggunakan pengetahuan asas kepengakapan di dalam situasi sebenar di samping membolehkan Ahli-ahli Pengakap memahami kepentingan kerja berpasukan (teamwork). Antara kebaikan aktiviti berbentuk sukan ini ialah untuk meningkatkan kecergasan fizikal, meningkatkan kecergasan mental dan daya tahan, memberi cabaran dan keseronokan, membina keyakinan diri dan sikap positif, menggunakan persekitaran yang sihat, meningkatkan kemahiran membaca peta dan kompas serta memupuk sifat keberanian dan ketenangan di dalam keadaan cemas.

 

Acara 'Orienteering' sangat mencabar kerana ia bukan sahaja menggunakan tenaga dan stamina malah mental di kalangan peserta sekali gus meningkatkan semangat setia kawan dan berpasukan dalam kalangan Ahli Pengakap serta dapat mengajar Ahli-ahli Pengakap bekerjasama dalam satu pasukan untuk menyelesaikan pelbagai masalah sehingga ke garis penghujung.

 

Sepanjang menyertai pertandingan ini, mereka bekerjasama di dalam satu pasukan bukan sahaja untuk keselamatan tetapi juga memastikan semua ahli yang berada dalam kumpulan selamat tiba ke destinasi dengan selamat.

 

Hadir bagi melancarkan pertandingan dan pelepasan peserta ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.

 

Lebih 200 Ahli Pengakap menyertai 'orienteering' berkenaan yang mewakili lapan buah sekolah rendah kerajaan dan pendidikan swasta iaitu Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas Subok, Sekolah Rendah Pulaie, Sekolah Rendah Anggerek Desa, Sekolah Rendah Pengiran Anak Puteri Besar Sungai Kebun, Sekolah Rendah Tanjong Kindana, Sekolah Sinaran Mas, Chung Hwa Middle School dan Sekolah DES.

 

Turut menyertai pertandingan ialah Ahli-ahli pengakap dari tujuh buah sekolah menengah kerajaan dan pendidikan swasta iaitu Sekolah Menengah Awang Semaun, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien, Sekolah Menengah Menglait, Sekolah Menengah Pehin Dato Seri Maharaja Mentiri, Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar dan Sekolah St. Andrew's telah menyertai pertandingan itu.

 

Setiap pasukan disediakan kompas dan diberikan had masa untuk menamatkan laluan cabaran 'orienteering' berkenaan.

 

Petugas pertandingan ini sebelumnya telah meletakkan penanda di koordinat-koordinat berlainan di seluruh kawasan perkhemahan, setiap penanda mengandungi nombor yang berlainan.

 

Objektif aktiviti berkenaan adalah untuk mencari nombor yang diperlukan bagi melengkapkan senarai urutan nombor yang telah ditetapkan lebih awal.

 

'Orienteering' merupakan sukan rekreasi di mana peserta dengan berpandukan peta dan kompas dikehendaki mengemudikan dirinya ke titik-titik kawalan yang telah ditandakan di atas peta dan telah ditempatkan di atas muka bumi mengikut susunan yang tertentu.

 

Sukan rekreasi ini memerlukan peserta mengemudikan dirinya sendiri, berjalan atau berlari bagi menempuhi pelbagai variasi rupa bumi untuk tiba ke destinasi yang telah ditetapkan, di dalam pergerakan ke beberapa destinasi yang dikenali sebagai Titik Kawalan di mana para peserta adalah bebas untuk memilih laluannya sendiri dengan berpandukan peta dan kompas.

 

'Orienteering' tidak bergantung sepenuhnya kepada keupayaan fizikal seperti mana aktiviti larian yang lain, ia lebih memerlukan kemahiran membaca peta sebagai elemen penting memandangkan peserta perlu menentukan laluan yang terbaik. Seseorang pelari yang pantas tanpa membuat perhitungan yang baik terhadap laluannya dengan mudah dapat ditewaskan oleh seseorang peserta yang perlahan larian tetapi memberi tumpuan yang lebih kepada pembacaan peta dan pemilihan laluan.

 

Pasukan Pengakap Tunas dari Sekolah Sinaran Mas muncul juara bagi Kategori Bahagian Pengakap Tunas dengan mencatatkan masa keseluruhan 23 minit.

 

Bahagian Pengakap Muda dijuarai oleh Sekolah Menengah Awang Semaun yang mencatat masa 19 minit 54 saat manakala Bahagian Pengakap Remaja dijuarai oleh Sekolah Menengah Awang Semaun yang mencatat masa sembilan minit 34 saat.

 

Bahagian Kategori Terbuka Individu Pemimpin Pengakap terdiri dari Ahli Pengakap Kelana (Rover Scout), Pemimpin Pengakap, Penolong Pemimpin Pengakap dan Pengakap Dewasa telah dimenangi oleh Mohamad Suhardi bin Alias dari Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar, Temburong dengan catatan masa 13 minit 48 saat. Tempat kedua dimenangi oleh Ibrahim bin Haji Bujang dari Sekolah Menengah Awang Semaun dengan catatan masa 14 minit 48 saat manakala tempat ketiga dimenangi Nazirah Hayat binti Haji Alimin dari Sekolah Sinaran Mas mencatat masa 16 minit 50 saat.

 

Piala Pusingan Presiden dan Piala Iringan Ketua Pesuruhjaya Pengakap PPNBD menjadi rebutan pertandingan di samping hadiah-hadiah iringan kepada pemenang setiap kategori yang disampaikan oleh Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.

 

Turut hadir Pesuruhjaya-pesuruhjaya Pengakap, Pesuruhjaya Pengakap Daerah, Pegawai Eksekutif Pengakap dan Pemimpin-pemimpin Pengakap serta Penolong-penolong Pemimpin Pasukan Pengakap.

Started Ended
Number of participants
300
Service hours
3600
Location
Brunei Darussalam
Topics
Youth Engagement
Youth Programme
Legacy BWF

Share via

Share