Scout of the World Award Discovery Workshop Peringkat Negeri Kelantan
Salam Pengakap ! Pada 13 - 15 Februari 2020, saya telah menjadi urusetia dan dilantik sebagai barisan fasilitator dalam mengendalikan sebuah bengkel Scout of the World Award Discovery yang mana ianya telah dianjurkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia negeri Kelantan dan diadakan di Kem Pengakap negeri Kelantan iaitu Kem Kijang. Program ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam. Seramai 60 orang peserta dan 15 orang urusetia yang terdiri daripada pengakap kelana dan 5 orang urusetia yang terdiri daripada kalangan pemimpin. Penyertaan bengkel pada kali ini bukan sahaja daripada pengakap negeri kelantan, akan tetapi melibatkan banyak lagi negeri seperti negeri Johor, Pahang, Terengganu dan negeri Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM).
Bengkel Scout of the World Award Discovery ini merupakan sebuah permulaan bagi setiap ahli pengakap ataupun orang ramai yang terdiri dalam lingkungan umur antara 16 sehingga 26 tahun yang berminat untuk menjalankan projek keamanan bagi mendapatkan anugerah Scout of the World Award (SWA). Dengan adanya bengkel ini, para peserta akan diberikan pendedahan terhadap Matlamat Pembangunan Mapan atau lebih dikenali sebagai 'Sustainable Development Goals' (SDGs). Selain itu, para peserta juga telah didedahkan dengan Better World Frameworks (BWF) dan juga Messenger of Peace (MoP).
Sepanjang bengkel ini berlangsung, para peserta banyak melakukan aktiviti di dalam kumpulan yang mana telah dipecahkan sama rata bagi menggalakkan perkenalan yang baru. Inilah hal yang paling saya minati sepanjang berpengakap. Pengakap banyak membuka kepada pintu persahabatan dan begitulah juga dari pengamatan kami selaku fasilitator dalam memantau hubungan, perlakuan, tindakan, pertukaran idea buah fikiran, gurau senda bersama dan banyak lagi yang jelas terbit dari semua peserta dari setiap kumpulan.
Di hari terakhir program, para peserta telah diberikan passport SWA. Ia merupakan satu kompenon yang cukup penting bagi melayakkan seseorang itu menjalankan projek Scout of the World Award ini dan seterusnya melayakkan seseorang itu untuk dianugerahkan lencana Scout of the World Award ini. Kami dapat melihat jelas kegembiraan dalam kepenatan para peserta yang bersemangat dalam mengharungi bengkel ini sepanjang 3 hari 2 malam ini berlangsung.
Bagi saya selaku urusetia dan fasilitator, program sebegini banyak memberi impak yang positif kepada para peserta dalam memikirkan apa yang terbaik dalam mengambil cakna isu kelestarian alam dan Matlamat Pembangunan Mapan ini. Sebagai urusetia dan fasilitator, saya cukup berharap agar bengkel Scout of the World Award Discovery ini banyak membantu para peserta dalam usaha mereka untuk menjalankan usaha murni dalam menjalankan projek Scout of the World Award ini dan pada akhirnya, bukan sahaja mendapatkan anugerah Scout of the World Award tersebut, malah turut menjadi duta keamanan dan mengajak orang ramai untuk turut serta dan peka terhadap Matlamat Pembangunan Mapan. #SWA