
Scout of The World Award Discovery Workshop Negeri Kelantan
Selama 3 hari 2 malam, saya dan 59 orang lagi peserta yang terdiri daripada pengakap dan bukan pengakap telah berkampung di Kem Kijang, Kota Bharu untuk menjalani Scout of The World Award Discovery (SWD). Bagi melayakkan diri untuk dianugerahkan Anugerah Pengakap Dunia atau nama lainnya ‘Scout of The World Award (SWA)’, kami wajib menjalani SWD. SWD merupakan langkah pertama ke arah SWA dimana ia merupakan sebuah bengkel yang mendedahkan tentang Scout of The World Award dengan lebih terperinci. Kami diberi pendedahan tentang bagaimana wujudnya Scout of The World Award dan tujuannya. Kami juga mendapat suatu ilmu baharu iaitu tentang Better World Frameworks (BWF) dan Sustainable Development Goals (SDGs). Daripada bengkel ini juga kami dapat mengetahui tentang komponen-komponen penting untuk mendapatkan lencana SWA dan cara yang betul untuk menjalankan Scout of The World Voluntary Service.
Penyertaan bengkel ini berada di luar jangkaan saya kerana ia bukan sahaja disertai oleh peserta-peserta dari negeri Kelantan malah ia mendapat sambutan daripada ahli-ahli pengakap negeri Johor, Terengganu dan juga Pahang. Ia agak menyeronokkan kerana daripada sini, saya dapat menambah kenalan baharu yang mempunyai minat yang sama. Kami juga dapat berkongsi pengalaman sepanjang bergiat dalam dunia kepengakapan antara satu sama lain. Tambahan pula, kami pernah menyertai aktiviti-aktiviti yang seakan sama seperti menjalani kursus pengakap muda dan remaja semasa di sekolah menengah, menyertai perkhemahan dan sebagainya. Di bengkel ini, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Walaupun baru bertentang mata buat pertama kali, kami sudah mampu berkomunikasi dan bekerjasama dengan baik.
Aktiviti-aktiviti sepanjang bengkel SWD ini amat menarik dan menyeronokkan. Ia menguji semangat kerjasama antara ahli kumpulan kami dan menguji kebolehan kami dalam berfikir dan bertindak. Ia juga membuatkan minat dan semangat saya untuk mendapatkan lencana SWA semakin berkobar-kobar. Bukan itu sahaja, kami juga telah diberi ilmu dan perkongsian oleh orang yang lebih berpengalaman iaitu peserta-peserta yang telah berjaya mendapatkan lencana SWA pada tahun sebelumnya. Mereka bercerita tentang pahit manis kisah mereka sepanjang menjalankan projek SWA dan memberi kata-kata semangat kepada kami.
Bengkel 3 hari 2 malam ini telah memberi banyak impak yang positif buat diri saya dan para peserta yang lain. Hubungan saya bersama bukan pengakap dan ahli pengakap negeri lain telah terjalin dengan sangat erat. Walaupun bengkel ini telah berakhir, kami masih lagi berhubung dengan baik di sosial media. Selain itu, semua ilmu yang dikongsi telah meningkatkan lagi kefahaman saya tentang SWA dan mendorong saya untuk meneruskan impian saya untuk mendapatkan Scout of The World Award iaitu sebuah anugerah yang sangat bernilai. Di samping itu, saya juga dapat menjadi seorang yang peka tentang masalah sekeliling dan dapat berbakti kepada masyarakat. Kami telah diberikan passport SWA iaitu merupakan satu item yang paling utama untuk melayakkan seseorang individu untuk mendapatkan lencana SWA. Sebagai kesimpulannya, bengkel SWD ini amat membantu diri saya dalam usaha untuk menjalankan projek SWA dan memberi pendedahan yang sangat tinggi kepada kami.