Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam raikan Sambutan Israk Mikraj 1439H
Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Israk dan Mikraj, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah mengadakan ceramah khas yang berlangsung di Balai Ibadat PPNBD, baru-baru ini. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Haji Metussin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba. Pada majlis itu, ceramah telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk. Antara inti pati ceramah yang disampaikan ialah perintah wajib menunaikan solat lima waktu dengan menekankan betapa pentingnya ibadah solat dalam kehidupan seseorang yang beragama Islam. Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pesuruhjaya, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali; Pesuruhjaya Antarabangsa, Awang Abdul Manan bin Haji Abdul Latip, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, penolong-penolong pesuruhjaya, pemimpin-pemimpin pengakap dan ahli-ahli pengakap.