Perkhemahan Lencana Ahli Udara Utama Pengakap Muda Udara, Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Pulau Pinang
Profile picture for user DR. TAN KIM SEAH_1
Malaysia

Perkhemahan Lencana Ahli Udara Utama Pengakap Muda Udara, Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Pulau Pinang

Georgetown, Pulau Pinang (22 Disember 2019) – Perkhemahan Lencana Ahli Udara Utama Pengakap Muda Udara telah dianjurkan oleh Sekretariat Pengakap Udara Negeri Pulau Pinang (SPUNPP) atas sokongan Sekretariat Pengakap Udara Kebangsaan (SPUK) pada 21-22 Disember 2019, bertempat di Wisma Pengakap PPM Negeri Pulau Pinang. Seramai 20 orang ahli pengakap muda dari seluruh negeri Pulau Pinang telah berjaya menyertai perkhemahan ini.

 

Barisan jurulatih perkhemahan kali ini terdiri daripada 10 orang pemimpin pengakap udara, berserta dengan 2 orang jurulatih pakar jemputan yang merupakan jurutera kanan kapal terbang dan juruterbang dari syarikat penerbangan yang terkenal.

 

Topik-topik teknikal yang telah disampaikan kepada peserta perkhemahan termasuk navigasi, meteorologi lanjutan, marshalling, faktor manusia & keselamatan penerbangan, prosedur keselamatan penerbangan dan simpulan pengakap udara. Pelbagai latihan amali / praktikal juga dilaksanakan untuk memperkasaskan teori pembelajaran, antaranya termasuk eksperimen mengkaji cuaca & jangka suhu kering-basah, penerbangan simulator, operasi radio amatur, permainan drone, pembinaan roket air dan sebagainya.

 

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang, Tuan Haji Zulkafli Bin Kamaruddin berharap pengakap negeri Pulau Pinang mendapat pendedahan yang sepenuhnya tanpa kira pengakap biasakah mahupun udara dan laut, beliau sentiasa memberi sokongan yang sepenuhnya dalam mengadakan aktiviti kepengakapan untuk ahli-ahli pengakap. Beliau juga berharap PPM Negeri Pulau Pinang dapat melahirkan lebih ramai orang Pengakap Raja yang merangkumi tiga unit pengakap.

 

Majlis Penutupan perkhemahan telah disempurnakan oleh Ts. Chew Ching Yee, Pengerusi Sekretariat Pengakap Udara Negeri Pulau Pinang (SPUNPP) merangkap Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang (Pengakap Udara). Peserta-peserta yang telah mencapai tahap dari segi ujian bertulis, ujian praktikal serta buku-log yang lengkap telah dianugerahi Sijil serta Lencana Ahli Udara Utama khas untuk pengakap muda udara pada penghujung perkhemahan yang disampaikan oleh Pengerusi SPUNPP.

 

Pengerusi SPUNPP juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada 3 orang pemimpin pengakap udara dalam amali, iaitu En. Peter Tan Yeong Shing, En. Ong Ewe Keat dan Dr. Tan Kim Seah telah berjaya menyelesaikan tugasan amali kursus pemimpin pengakap udara (KPPU) siri III melalui perkhemahan ini. Semoga pemimpin-pemimpin ini akan dapat anugerah Sijil serta Lencana Pengakap Pemimpin Udara pada tahun depan, dan terus memyumbang bakti kepada perkembangan pengakap udara di negeri Pulau Pinang.

 

Foto-foto aktiviti: https://www.facebook.com/pg/penang.air.scout/photos/?tab=album&album_id=1038195896515319

 

Disediakan oleh,

Ts. Dr. Tan Kim Seah

Sekretariat Pengakap Udara Negeri Pulau Pinang

 

'Pengakap Mentransformasi Generasi'

Started Ended
Number of participants
32
Service hours
384
Location
Malaysia
Topics
Youth Engagement
Youth Programme

Share via

Share