Perkhemahan Ekpedisi Pengakap
LABUAN- Pengakap Labuan telah menganjurkan Perkhemahan Ekspedisi Pengakap peringkat Wilayah Persekutuan Labuan pada 01 Mac sehingga 03 Mac 2019 yang lalu. Antara objektif perkhemahan ini adalah membina kekuatan dan jati diri ahli Pengakap untuk menghadapi cabaran mendatang serta mengasah kemahiran navigasi ahli pengakap.
Perkhemahan ekspedisi ini disertai seramai 60 ahli pengakap daripada empat buah kumpulan iaitu Kumpulan 15 SMK Mutiara, Kumpulan 07 SMK Labuan, Kumpulan 24 SMK Taman Perumahan Bedaun dan Kumpulan 30 Sekolah Menengah Agama MAIWP Labuan. Hari pertama perkhemahan ini peserta didedahkan ilmu navigasi orientering, membaca kompas dan pemetaan. Terdapat juga slot kemahiran penganggaran menggunakan objek ringkas seperti tongkat dan pen, slot simpulan dan ikatan untuk membina gajet. Selain itu peserta turut diuji kemahiran memasak menggunakan dapur ringkas dan kawad tongkat.
Pada hari kedua, Peserta mula berjalan kaki dari SMK Mutiara sewala jam 0630 pagi melalui Jalan Kinabenua dan seterusnya ke Jalan Bukit Timbalai dan akhirnya tiba di Desa Tunas Hijau, Sungai Pagar pada jam 10.28 pagi. Jarak perjalanan yang dilalui adalah sejauh 16KM. Di awal ekspedisi peserta diberi taklimat tentang peraturan yang perlu diikuti apabila menjalankan ekspedisi seperti mematuhi undang-undang lalu lintas serta peraturan keselamatan semasa menjalankan ekspedisi.
Setiap aktiviti yang dijalankan mengikut sistem berpatrol bagi menyerlahkan sifat kepimpinan, kerjasama antara rakan, hormat-menghormati, bersifat tabah dan sabra. Ahli pengakap juga dapat menjalinkan hubungan yang harmonis dalam kalangan ahli pengakap yang berbilang bangsa dan agama.
Pengerusi Program Negeri Skip Angela Joseph dalam ucapan aluannya pada majlis perasmian menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sepanjang perkhemahan terutama kepada Dato’ Sri Mohd Alias Bin Abdul Rahman, YDP Majlis Pengakap Labuan yang menyediakan tapak perkhemahan Desa Tunas Hijau, Datuk Harris Tan Bin Haji Annuar Tan, CEO Asian Supply Base Sdn. Bhd. yang menyediakan perkhidmatan iringan Ambulan semasa ekspedisi berlangsung, serta semua individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung untuk menjayakan perkhemahan ini.
Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya Kebangsaan Skip Rosni bin Mohd Daud. Beliau dalam ucapannya menzahirkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah pada semua peserta yang dapat menamatkan perkhemahan ini dengan jayanya. “Saya berharap ahli pengakap yang mengikuti pekhemahan ekspedisi kali ini akan terus menimba ilmu kepengakapan dan meningkatkan kemahiran diri sehingga mencapai tahap tertinggi menjadi seorang Pengakap Raja” ujarnya lagi. Di majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penyertaan dan penghargaan kepada semua peserta dan jurulatih yang terlibat.