PENGAKAP LABUAN SERTAI JAMBORI DUNIA DI UDARA (JOTA) KE-61 & DI INTERNET (JOTI) KE-21
PENGAKAP LABUAN SERTAI JAMBORI DUNIA DI UDARA (JOTA) KE-61 & DI INTERNET KE-21
21-22 Okt 2017, Labuan International School.
WP LABUAN Pada 21-22 Oktober 2017 yang lalu, pengakap Labuan telah menyertai Jambori Dunia di Udara (Jamboree On The Air - JOTA) Ke-61 dan di Internet (Jamboree On The Internet – JOTI) Ke-21 yang berlangsung secara serentak di seluruh dunia. Ahli pengakap seluruh dunia berkumpul dan berkomunikasi dengan menggunakan radio amatur dan juga internet di dalam pautan yang disediakan. Aktiviti ini dapat berjalan dengan lancar dengan bantuan operator Ham daripada Borneo Amateur Radio Club (BARC).
Pengurus Stesen berkenaan, Rosni Mohd Daud berkata, penganjuran yang dibuat oleh Persekutuan Pengakap Malaysia WP Labuan itu menjadikan jumlah keseluruhan stesen induk bagi JOTA di Malaysia sebanyak 45 buah. Lebih daripada 11,000 ahli pengakap dan 2,200 guru-guru, pengendali radio amatur dan lain-lain petugas di seluruh negara telah melibatkan diri dalam program ini. Manakala antara pengakap-pengakap yang yang berjaya dihubungi di luar negara adalah yang berasal dari rantau Asia, Amerika Utara, Amerika Selatan, negara-negara Eropah dan Australia.
Katanya, setiap stesen JOTA yang mengambil bahagian mempunyai isyarat pengenalan (callsign) masing-masing seperti isyarat panggilan "9M4SJL" bagi stesen JOTA di WP Labuan. Stesen JOTA Labuan diketuai oleh Skip Abdul Rahim Bin Marjaya (9M6RHM) dan diuruskan oleh Skip Rosni Bin Mohd Daud (9W6RMD).
"Sambutan daripada ahli dan pemimpin pengakap terhadap program ini sangat menggalakkan. Seramai 100 orang ahli pengakap Labuan telah menghadirkan diri di stesen JOTA Labuan. Peserta tersebut terdiri daripada ahli pengakap dan pemimpin yang datang dari beberapa pasukan pengakap di negeri ini iaitu dari SMK Labuan, SMK Mutiara, SM Sains Labuan, SM St Anne, SMK Pantai, SKK St Anne, SK Kerupang, SK Pekan Dua dan SK Membedai" katanya ketika ditemui pada program itu.
Tambah Rosni, dalam program tahunan itu, para peserta didedahkan dengan pelbagai teknik pengendalian radio amatur termasuklah tatacara yang digunakan dalam rangkaian antarabangsa yang merupakan salah satu silibus di dalam skim latihan pengakap. Pengakap yang hadir juga mempelajari sistem komunikasi alternatif termasuk Kod Morse, Kod Fonetik, Kod Q, Semaphore, dan Internet. Peserta yang berjaya mengikuti program sepenuhnya di anugerahkan sijil dan Lencana Antarabangsa JOTA. Sijil penghargaan turut disampaikan kepada operator Ham BARC yang bertugas.
Majlis perasmian penutupan jambori ini telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Mohd Alias bin Abdul Rahman selaku Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan Labuan. Hadir sama ialah isteri beliau Datin Sri Dato’ Norsiah Abdullah yang merupakan Penaung BP Guild WP Labuan. Turut memuliakan acara dengan kehadiran Pengetua Labuan International School Puan Zainab Binti Batin.