
Pengakap Jiwa Merdeka! Kempori Selangor 2019
Seramai 21 ahli pengakap SMK Puchong Permai adalah antara 700 lebih peserta yang telah menyertai Kempori Selangor tahun ini.
Perkhemahan ini dapat memupuk semangat kerjasama, berdikari, meningkatkan motivasi, keyakinan diri peserta serta melahirkan ahli yang berdisiplin selain bersemangat juang untuk memastikan kecemerlangan yang seimbang dalam bidang kokurikulum dan kurikulum.
Sebanyak 30 aktiviti yang disediakan, antaranya projek pemuliharaan alam sekitar, permainan tradisional seperti permainan kim, baling tin, baling gelung, batu seremban dan sepak bulu ayam, kraf tangan seperti anyaman ketupat, origami dan wogel serta aktiviti radio amatur.
Peserta berpeluang menjalankan ujian Kejernihan air, Pengukuran Keasidan dan Kealkalian Air (pH) serta Ujian Pemantauan Air yang dianjurkan oleh Environment Online (ENO).
Selain itu, ENO juga mengetengahkan pendidikan solar kepada peserta, dengan memberi penerangan berkaitan panel solar, alatan kawalan solar, alatan pengalih ubah dan sistem bateri bagi mendidik peserta mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan beralih kepada penggunaan tenaga solar yang lebih murah serta tenaga hijau.
Semoga ilmu yang diperoleh oleh semua pengakap dapat dipraktikan dalam aktiviti seharian.