Pek Bercuti Dapatkan Keris Gangsa
LABUAN – Seramai 46 orang ahli Pengakap Kanak-Kanak telah menyertai Perkhemahan Lencana Kemajuan Keris Gangsa yang dianjurkan oleh Kumpulan 27 (SK Membedai). Perkhemahan ini dilaksanakan selaras dengan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia yang ingin mewujudkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani melalui penyertaan dalam bidangkokurikulum. Seseorang pelajar itu wajib menyertai aktiviti kokurikulum untuk menyeimbangkan tahap sosial mereka dalam melangkah ke alam kehidupan yang lebih mencabar. Pengalaman yang ditimba melalui aktiviti perkhemahan ini bakal diaplikasikan oleh mereka apabila menempuhi alam kedewasaan kelak.
Antara objektif perkhemahan pada kali ini ialah untuk menilai kemahiran ilmu pengakap yang di pelajari oleh ahli pengakap selama satu tahun, memberi pengiktirafan kepada ahli yang berjaya dalam ujian, memberi peluang kepada ahli pengakap merasai pengalaman dalam menyertai program perkhemahan, bermalam di dalam khemah dan melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan sosial.
Aktiviti teori, amali dan ujian dijalankan secara iaitu Pangkalan Kesetiaan, Pangkalan Kesihatan dan Keselamatan, Pangkalan Kecekapan dan Penyertaan, Upacara Laung Agung dan Kawad Kaki. Selaku tuan rumah, Ustaz Mohd Farihi bin Ab Halim, Guru Besar SK Membedai WP Labuan, turut meluahkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dengan berlangsungnya perkhemahan ini dengan jayanya. Beliau turut menyatakan hasrat untuk mengadakan perkhemahan yang lebih meriah dan hebat pada masa akan datang.
Perkhemahan yang berlangsung selama dua hari satu malam ternyata tidak dapat memuaskan hati dan minat ahli PKK yang rata-rata merupakan pengalaman perkhemahan pertama bagi mereka. Skip Rosni Md Daud selaku Pesuruhjaya Kebangsaan Persekutuan Pengakap Malaysia, dalam ucapan Penutupan Majlis turut menyarankan agar perkhemahan seumpama ini diadakan selama 3 hari 2 malam dengan kapasiti penyertaan 500 orang pada masa hadapan.
Majlis Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan Labuan sangat menyokong dan menghargai penglibatan anak-anak dalam aktiviti berpengakap seperti ini pada bila-bila masa dan sentiasa memberi kerjasama yang tidak berbelah bahagi. Penghargaan turut diberi kepada Dato’ Sri Haji Mohd Alias bin Abdul Rahman selaku Yang Dipertua Majlis Pengakap Labuan di atas sokongan dengan menyediakan tapak perkhemahan untuk ahli-ahli pengakap kanak-kanak berkhemah. Juga kepada semua pemimpin yang hadir untuk bertugas siang dan malam secara rasmi dan sukarela. Turut hadir di majlis ialah Skip Niza Utiya binti Haji Hamzah, Penyelaras Program, Skip Dyana Martin Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Skip Han Siew Kong Pesuruhjaya Pengakap Zon 1, Skip Roslan Bin Musa Pesuruhjaya Pengakap Zon 2 dan Skip Ivy Lee Pesuruhjaya Pengakap Negeri Bahagian Wanita.