Mesyuarat Majlis Pemimpin & Perutusan Yang Di Pertua Majlis Pengakap Negeri WP Labuan
LABUAN - Persekutuan Pengakap Malaysia WP Labuan telah mengadakan mesyuarat Majlis Pemimpin Pengakap WP Labuan kali pertama dengan dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya Negeri Skip Hong Heng Chee. Sebanyak 12 kumpulan daripada 7 sekolah rendah dan 5 sekolah menengah di Labuan telah menghantar wakil ke mesyuarat ini. Mesyuarat dimulakan dengan istiadat perlantikan tiga Penolong Pesuruhjaya Daerah yang baru, Skip Rizuan Asmarah, Skip Niza Utiya & Skip Angela Joseph. Pegawai yang baru dilantik ini melafazkan Persetiaan Pengakap dan seterusnya dikuti dengan pemakaian pangkat. Antara intipati mesyuarat ini adalah prosedur pendaftaran, tentatif latihan dan program yang akan diadakan sepanjang tahun 2018.
Sejurus selepas mesyuarat itu, majlis penyampaian perutusan tahun baru 2018 turut diadakan di tempat yang sama. Perutusan tahun baru itu telah disampaikan oleh Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Dato' Seri Hj Mohd Alias bin A. Rahman. Di dalam perutusan ini, beliau menggalakkan Pemimpin Pengakap Labuan untuk berusaha dengan lebih gigih dalam menaikkan nama Pengakap WP Labuan dan seterusnya membantu anak-anak pengakap untuk mencapai potensi terbaik di dalam diri mereka, menanam semangat kepengakapan di dalam diri hingga akhir hayat, semua pengakap perlu bersatu tanpa mengira bangsa dan agama, pengakap adalah bersaudara kepada semua dan memasyarakatkan aktiviti pengakap. Turut Hadir pada majlis tersebut ialah Naib Yang Dipertua (II) Datin Hjh Dayang Pungut.