
Meningkatkan Keyakinan Murid Melalui Program Motivasi
Sekolah Kebangsaan Singgah Manis, Kinabatangan merupakan sekolah kategori kurang murid. Tidak menjadi halangan bagi sekolah berkenaan mengadakan Program Kem Motivasi yang melibatkan murid-murid tahun 6. Di mana, program ini merupakan program yang diadakan setiap tahun oleh sekolah tersebut yang bertujuan untuk meningkatkan motivasi murid dan persediaan sebelum menempuh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Program ini telah diadakan pada 15 hingga 17 Februari 2019 di Kem Simulong (Pusat Kokurikulum), Lahad Datu. Seramai 18 orang peserta yang dibantu seramai 18 orang pasukan pengakap kelana daerah Kinabatangan dan disertai oleh 14 orang guru. Jumlah ini termasuklah guru besar sekolah tersebut yang mempunyai semangat yang tinggi bersama-sama menjayakan prgoram berkenaan.
Pelbagai aktiviti yang dijalankan seperti mencipta nama, logo dan moto kumpulan, eksplorasi (rintangan halangan), latihan dalam kumpulan (peranan sebagai seorang murid), pandu arah, masakan rimba dan malam kebudayaan. Secara tidak langsung, aktiviti-aktiviti yang dijalankan dapat menguji ketahanan mental dan fizikal para peserta. Dalam masa yang sama, para peserta juga dapat mengasah bakat diri dalam menggunakan setiap peluang yang diberikan demi menjadi seorang murid yang berkebolehan tinggi.
Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini juga melatih para peserta dalam aspek pengurusan emosi, pengurusan tingkah laku dan pengurusan masa serta teknik belajar dengan berkesan. Di akhir program, murid-murid diberikan peluang dan ruang untuk menyatakan hasrat serta target dalam UPSR yang bakal ditempuhi kelak. Yang mana, hasrat dan target tersebut menjadikan mereka mempunyai keyakinan yang lebih tinggi berbanding sebelum menghadiri program.
Aktiviti yang melibatkan penyertaan murid seperti ini sebenarnya dapat meningkatkan kualiti pendidikan dalam aspek kokurikulum. Justeru, adalah diharapkan agar pendidikan dalam aspek kurikulum juga dapat dicapai seimbang dengan penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum di dalam mahupun luar sekolah