
Melahirkan Pemimpin Muda Melalui Program Kem Kepimpinan
Kem Kepimpinan Pemimpin SMK St Dominic merupakan program tahunan yang dilaksanakan oleh sekolah tersebut. Program ini adalah bertujuan untuk melatih, mendedahkan dan melahirkan pemimpin-pemimpin sekolah yang mempunyai jati diri, semangat kerja berpasukan dan asertif diri yang tinggi. Selain itu, matlamat lain program ini dijalankan tidak lain tidak bukan juga bertujuan untuk mengasah bakat kepimpinan dalam diri para peserta yang terlibat.
Pada kali ini, ia dilaksanakan pada 16 hingga 17 Mac 2019. Program yang mengambil masa dua hari ini dilaksanakan di dalam sekolah tersebut sendiri. Ia melibatkan seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada pengawas sekolah, pengawas pusat sumber, ketua dan penolong ketua kelas dan pembimbing rakan sebaya. Saya sebagai salah seorang fasilitator melengkapkan jumlah seramai 20 orang fasilitator yang lain lagi yang terdiri daripada pengakap kelana daerah Kinabatangan dengan kerjasama pengakap kelana daerah Lahad Datu.
Antara aktiviti yang menarik dijalankan ialah aktiviti rempuh halangan. Sebayak 15 halangan yang diadakan termasuklah halangan komando, sayang si buta, pertolongan cemas (bantu mula), team building dan lain-lain. Rasional aktiviti halangan ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan ketahanan fizikal dan mental para peserta yang secara tidak langsung dapat melahirkan barisan kepimpinan yang mempunyai wawasan yang tinggi di samping dapat memegang dan menjalankan amanah serts tugas yang diberikan oleh pihak pengurusan sekolah.
Secara keseluruhannya, program seumpama ini sebenarnya dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran terhadap sekolah berkenaan. Guru dan murid secara tidak langsung memperoleh sesuatu ilmu yang diperoleh melalui aktiviti luar bilik darjah. Dalam masa yang sama, pengkibatan pasukan pengakap kedua-dua daerah yang dimaksudkan di atas meningkatkan hubungan dua hala dalam usaha sama meningkatkan kualiti pendidikan. Kerjasama antara pihak atau agensi luar sedemikian diharap semakin meluas demi meningkatkan kualiti pendidikan dalam sekolah tersebut.