KEM TRANSFORMASI KEPIMPINAN MURID SEKOLAH KEBANGSAAN BENTA

KEM TRANSFORMASI KEPIMPINAN MURID SEKOLAH KEBANGSAAN BENTA

Pada 6 April 2019, sebuah program anjuran unit Bimbingan dan Kaunseling (BNK) Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) telah mengadakan sebuah program kepimpinan murid iaitu Kem Transformasi Kepimpinan Murid Sekolah Kebangsaan Benta. Program ini telah melibatkan seramai 20 orang ahli jawatankuasa (AJK) yang merupakan pelajar jurusan BNK IPGKTAA dan barisan pimpinan SK Benta iaitu seramai 56 orang yang terdiri daripada murid tahap 2.

Program ini adalah bertujuan untuk memberi pengalaman dan pendedahan kepada tugas sebagai pemimpin dan untuk mendedahkan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan murid agar dapat membantu diri mereka menjalankan tugas sebagai ketua yang berketerampilan.

Pada 5 April iaitu sehari sebelum program berlangsung, satu perjumpaan antara ahli jawatankuasa program telah diadakan. Perjumpaan tersebut adalah bertujuan untuk memikirkan rasional setiap aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) yang diadakan dan untuk mengingatkan AJK program tentang tentatif sepanjang program. Kami juga mempersiapkan alatan dan bahan yang akan dibawa ke SK Benta.

Pada keesokkan harinya iaitu 6 April, kami telah berkumpul pada jam 7.30 dan bertolak pada jam 7.45 pagi. Sekitar jam 8.15 pagi, kami telah sampai ke SK Benta dan disambut dengan meriah oleh guru-guru dan murid-murid di sana. Program dimulakan tepat jam 8.30 pagi dengan sesi pengenalan diri. AJK meminta peserta menomborkan diri mereka dan para peserta dibahagikan kepada 6 kumpulan mengikut nombor masing-masing. Setelah itu, para peserta diberi masa selama 20 minit untuk mencipta nama, logo dan sorakan kumpulan masing-masing. Seterusnya semua ahli kumpulan diminta kedepan dan membentangkannya kepada rakan-rakan yang lain. Aktiviti ini adalah bertujuan supaya peserta berasa semangat dan dapat mewujudkan hubungan yang erat sesama ahli kumpulan.

Selepas rehat jam 10 pagi, pada jam 10.30 pagi program diteruskan lagi dengan Latihan dalam Kumpulan (LDK) yang seterusnya iaitu kemahiran komunikasi. AJK membisikkan mesej yang mengandungi ayat kepada orang pertama dalam kumpulan dan orang pertama dikehendaki menyampaikan mesej kepada orang kedua dan begitulah seterusnya. Setiap peserta diminta menghantar mesej secara berbisik. Ahli yang terakhir menerima mesej dikehendaki melukis mesej yang diterima. Objektif aktiviti ini ialah supaya peserta mengalami pengalaman bagaimana suatu mesej itu berubah maksud apabila disalurkan melalui ramai penyampai.

Pada jam 12.30 tengah hari, kami makan tengah hari dan solat zuhur. Kuliah zuhur telah disampaikan oleh AJK yang bertugas. Program diteruskan pada jam 2.30 petang iaitu para peserta diminta untuk membina bangunan yang tertinggi menggunakan bahan yang disediakan iaitu straw, surat khabar, pita pelekat dan tali dalam masa 30 minit. Setelah itu, binaan setiap kumpulan akan diuji dengan tiga tahap yang berbeza. Aktiviti ini adalah untuk memupuk semangat kerjasama dan melahirkan murid nyang berfikiran kritis dan kreatif.

LDK yang terakhir ialah kemahiran asertif pada jam 3.15 petang. Setiap peserta diberikan belon dan getah. Peserta dikehendaki meniup belon sebesar bola takraw dan mengikatnya di pergelangan kaki. Peserta diminta memecahkan belon rakan di samping mempertahankan belon di sendiri. Selepas 5 minit, aktiviti dihentikan dan pemerhatian dibuat. Peserta yang kalah akan dikeluarkan dan peserta yang menang akan terus bertanding sehinggalah menemukan pasangan yang berjaya mempertahankan belonnya sendiri. Aktiviti ini adalah bertujuan untuk mengaitkan perasaan dan tindakan semasa menjalankan latihan belon dengan berbagai-bagai tingkah laku.

Pada jam 4 petang, AJK membuat persediaan untuk majlis penutup yang berlangsung pada jam 4.30 petang. Majlis penutup telah dirasmikan oleh guru besar Sekolah Kebangsaan Benta. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah pengiring iaitu Encik Mohd Mokhtar dan ahli jawatankuasa kerana menganjurkan program kepimpinan di SK Benta. Setelah menjamah sedikit juadah ringan, kami bertolak pulang ke IPG pada jam 5 petang.

Started Ended
Number of participants
83
Service hours
664
Location
Malaysia
Topics
Legacy BWF
Partnerships
Growth

Share via

Share