Finally Light Buzzing At Kampung Orang Asli, Ulu Endau Mersing Johor
Pada tarikh 31 Ogos sehingga 2 September 2018, tiba masanya untuk kami menjalankan projek Light Buzzing ini di Kampung Orang Asli PETA, Ulu Endau Mersing Johor. Projek ini masih sama dengan projek rintis dimana kami masih menggunakan solar tetapi agak berbeza dari segi kekuatan cahaya dan saiz solar itu sendiri. Selain itu, kami juga ada membuat penambahbaikkan dengan menggunakan solar untuk menerangi jeti serta laluan ke jeti itu nanti. Kami percaya dengan projek ini, dapat memberi banyak manfaat kepada penduduk kampung serta para pelancong yang melawat ke sini.
Jarak perjalanan dari pejabat Perbadanan Taman Negara Johor ke Kampung Orang Asli Peta memakan masa selama 2 jam. Setelah tiba di kampung tersebut, kami pergi ke rumah Tok batin, dimana beliau bertanggungjawab ke atas kampung tersebut dan kami memberikan sedikit sebanyak penghargaaan kepada beliau sebelum menjalankan projek Light Buzzing ini. Kampung tersebut tidak dilengkapi dengan lampu jalan serta ada beberapa tempat yang tidak bercahaya ketika tiba waktu malam, antaranya adalah di jeti dan sekitar kawasan tersebut. Jadi pada hari pertama, kami semua berkumpul dan pergi menggali lubang sebagai tapak untuk membuat lampu jalan. Sebelum itu, kami telah dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu setiap kumpulan mempunyai 6 orang ahli. Selepas itu, kami bermula dari papan tanda Kampung Orang Asli PETA sehingga di sekitar sekolah. Kami menggali sebanyak 15 lubang sepanjang ke sekolah dengan bersungguh-sungguh. Banyak pengalaman yang kami dapat, antaranya kena berhadapan dengan anjing liar yang terdapat disana serta dapat menambah ilmu serta teknik penggalian yang betul tanpa menyakitkan sendi-sendi tubuh badan kita dan juga cara untuk membuat simen dengan betul iaitu dengan nisbah 4:2:1 (pasir:simen:batu).
Pada keesokan harinya, setiap kumpulan akan melakukan tugasan yang berbeza iaitu, satu kumpulan akan meneruskan pemasangan, serta konkrit untuk lampu jalan, manakala satu kumpulan lagi akan membuat pemasangan lampu solar di jeti, laluan ke jeti dan sekitarnya. Kumpulan yang akan meneruskan kerja-kerja pemasangan di jeti telah menggunakan 15 lampu solar. Antara tempat yang terpilih adalah tandas awam, jeti, serta tangga menuju ke jeti. Setiap kumpulan melakukan tugasan dengan amat baik sekali. Semua bertungkus lumus untuk menyiapkan amanah yang telah diberi. Kami dapat habiskan kerja-kerja kami sebelum lewat petang. Setibanya waktu malam menjelma, kami semua berpakat untuk melihat lampu solar yang telah kami pasangkan tadi. Semuanya berfungsi dengan baik dan dapat menerangi jalan raya serta jeti dengan baik sekali. Kami berasa sangat gembira dan bersyukur dapat menyiapkan projek ini tepat pada masa yang diberikan. Kami berharap dengan adanya lampu ini dapat memberi kebaikan kepada penduduk setempat dan dapat mengurangkan perkara-perkara yang tidak diingini serta dapat menambah pendapatan dengan hadirnya para pelancong yang datang ke kampung ini.