Bengkel Memperkasakan Pengakap Perempuan & Kepemimpinan Pengakap Wanita Peringkat Kebangsaan 2018
Persekutuan Pengakap Malaysia telah mengadakan Bengkel Memperkasakan Pengakap Perempuan dan Kepemimpinan Pengakap Wanita Peringkat Kebangsaan 2018 pada 22 hingga 25 Februari 2018, bertempat di Tiara Labuan Hotel. Seramai 53 orang pengakap perempuan seluruh negara terlibat dalam bengkel selama empat hari tersebut dengan bertemakan “ Transformasi Memperkasakan Pengakap Perempuan dan Kepimpinan Pengakap Wanita”. Antara faktor utama W.P. Labuan dipliih sebagai lokasi bengkel adalah Labuan merupakan titik permulaan pergerakan Pengakap wanita di Malaysia, apabila Kumpulan Pengakap Wanita Malaysia yang pertama ditubuhkan di Labuan pada tahun 1968 dengan anggota seramai 5 orang. Turut menyertai di bengkel tersebut adalah Datin Hajah Dayang Abdul Jalil, salah seorang ahli daripada kumpulan Pengakap Perintis Perempuan yang ditubuhkan di Labuan pada tahun 1968 itu.
Turut diadakan Majlis Perasmian dan Pelancaran Sambutan Jubli Emas (50 tahun) Pergerakan Pengakap Perempuan di Malaysia (1968 - 2018) yang disempurnakan oleh YB Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli, Ahli Parlimen Labuan merangkap Penaung Majlis Pengakap Negeri W.P. Labuan. Menurut beliau, sebanyak 34 aktiviti telah diadakan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia WP Labuan (PPMWPL) pada tahun lalu sahaja. Beliau berharap agar aktiviti-aktiviti tersebut dapat memberi semangat dan panduan kepada para Pengakap wanita agar dapat memperkasakan lagi penglibatan Pengakap wanita di dalam pergerakan Pengakap pada masa akan datang. Pengakap wanita di negara ini juga diseru agar mempertingkatkan pelbagai kemahiran khususnya dari aspek kepimpinan dan interpersonal.
“Justeru kemahiran interpersonal adalah penting bagi membolehkan seseorang pemimpin itu membangunkan organisasi dengan baik, termasuklah bijak menguruskan konflik. Ini kerana pemimpin wanita merupakan salah satu pemangkin kepada pembangunan wanita di Malaysia dan penyertaan pemimpin wanita semakin meningkat saban tahun,” ujar Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Haji Isli pada majlis perasmian tersebut.
Beliau yang bangga Labuan dijadikan tuan rumah program itu, berharap melalui bengkel tersebut, semua pemimpin pengakap wanita meningkatkan keperibadian kepimpinan dan memperkukuhkan kekuatan psikologi dalaman serta menggunakan peluang yang ada untuk mengharungi cabaran mendatang.
“ Kemampuan pemimpin pengakap perempuan untuk terus bertahan dan bergiat aktif hingga ke hari ini perlu dijadikan contoh kepada yang lain,” ujar Rozman.
“ Apa yang penting semua pemimpin pengakap wanita harus mengembeleng tenaga untuk meneraju aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan permintaan masyarakat setempat,” ujarnya lagi.
Turut hadir, Senator Dewan Negara, Datuk Bashir Haji Alias; Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Nasaruddin Shamsuddin, Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Bahagian Hal Ehwal Wanita, Normah Mohd Yusof serta Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Hong Heng Chee.