Penghargaan jasa baik pengakap, 14 individu dan pemimpin pengakap terima Pingat KPPNS
SERAMAI 14 orang persendirian dan pemimpin pengakap menerima Pingat Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah (KPPNS) pada Majlis Malam Anugerah Pingat Pengakap Negeri Sabah Peringkat Bahagian Pedalaman Atas 2017.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah Datuk Dr. Awang Zaini Haji Suntim berkata, penganugerahan pingat berkenaan adalah untuk memberi penghormatan, pengiktirafan dan penghargaan kepada semua individu berjasa kepada pergerakan Pengakap di Sabah.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam memajukan pergerakan ini.
"Sebab itulah saya dengan Ketua Pengakap Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman telah bersetuju untuk menggezetkan tahun demi tahun kepada mereka yang harus diberi penghargaan dan harus diiktiraf sebagai pemimpin pengakap serta sebagai penyokong pergerakan pengakap di negeri sabah.
"Anda bukan sahaja diiktiraf dalam pergerakan Pengakap tetapi juga diiktiraf oleh kerajaan kerana Pengakap adalah satu badan berkanun dan bukannya Badan Bukan Kerajaan (NGO)," katanya pada majlis berkenaan Sabtu lalu.
Beliau berkata, pergerakan Pengakap negeri Sabah kini Sudah menjangkau 104 tahun sejak penubuhannya pada 1913.
Tambahnya, sejak mula ditubuhkan, pergerakan berkenaan dilihat masih lagi diiktiraf sebagai persatuan yang terunggul di Sabah.
"Ramai mengatakan pengakap ini di bawah NGO, namun hakikatnya tidak kerana pergerakan pengakap adalah satu badan berkanun dalam satu Akta parlimen yang mana mengeluarkan produk-produk yang berguna kepada negara.
"Jadi kita adalah pegerakan yang melatih generasi muda agar menjadi pemimpin, pelapis pemimpin atau sekurang-kurangnya menjadi warga negara yang baik, berdisiplin serta taat setia kepada negara kita," jelasnya.
Pada majlis itu, menyaksikan Barisan Kepimpinan Pengakap Bahagian Pedalaman Atas, Kepimpinan Daerah dan Pegawai-pegawai Perkhidmatan Pendidikan Daerah Keningau menerima penganugerahan Pingat KPPNS yang disematkan oleh Awang Zaini.
Antara penerima-penerima pingat berkenaan bagi orang persendirian adalah Pegawai Daerah Keningau Yusop Osman, Pegawai Pendidikan Daerah Keningau Masli Wahip, Pegawai Kokurikulum Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Keningau Delsum Abdullah, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau Dua Joanes Onson, Pengetua SMK Apin-apin Dorothea Onong, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Baru Rasamin Sariman, dan lapan pemimpin pengakap Bahagian Pedalaman Atas.
Sementara itu, seramai 99 individu dan pemimpin pengakap seluruh Bahagian Pedalaman Atas menerima Sijil Kepujian Ketua Pengakap Negeri Sabah (SKKPNS).
Selain itu, 80 orang menerima Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (SKKPPN), 18 pemimpin Pengakap menerima Pingat Perkhidmatan Lama (PPL), dan 14 orang penerima Pingat Peringatan 100 Tahun Pengakap Negeri Sabah pada majlis berkenaan.
Terdahulu, Majlis Menandatangani dan Penyampaian Tauliah Watikah Perlantikan Pesuruhjaya-pesuruhjaya serta Penolong-penolong Pesuruhjaya Pengakap Bahagian Pedalaman Atas turut dijalankan pada pagi Sabtu lalu.
Pada majlis itu, seramai 74 Pesuruhjaya dan Penolong-penolong Pesuruhjaya Pengakap Bahagian Pedalaman Atas menerima watikah berkenaan yang mana seramai 25 orang pemimpin dari Keningau, Tenom (18), Kemabong (11), Bingkor (9), Sook (7), dan Tambunan (4).
Majlis itu juga menjalankan Istiadat Pengalungan Manikayu Dua kepada beberapa pemimpin Pengakap Bahagian Pedalaman Atas dan pemimpin luar bahagian.
- Tamat