Anugerah Pengakap Satu Penghargaan
Malaysia

Anugerah Pengakap Satu Penghargaan

USAHA yang ditonjolkan dalam memimpin generasi muda melalui pergerakan pengakap dilihat turut dihargai melalui penyampaian sijil kepujian dalam pergerakan itu. Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Sook Unit Pengakap Kelana Addelley Mansing berkata beliau rasa dihargai dalam usaha memimpin bukan sahaja belia tetapi generasi muda dalam kepengakapan. “Saya turut berasa gembira tetapi pada masa yang sama perasaan takut itu datang apabila tidak mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik. “Perasaan mendapat anugerah ini rasa seperti dihargai dengan usaha kita melatih generasi muda melalui kepengakapan. “Ia bukan sahaja satu tanda penghargaan kepada saya tetapi ia juga sebagai pembakar semangat kepada pemimpin lain untuk terus memimpin generasi muda kita,” katanya. Selain itu, ia juga sebagai satu usaha untuk mewarwarkan pergerakan pengakap serta menarik minat pada belia untuk menyertai kepimpinan melalui pengakap ini. Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo pada Majlis Penyampaian Tauliah Watikah Pelantikan dan Majlis Malam Anugerah Pingat Pengakap Negeri Sabah Peringkat Bahagian Pedalaman Atas, Sabtu lepas. Addelley berkata tugas sebagai pemimpin sangat besar terutama sekali dalam membimbing dan melatih ahli pengakap di bawah jagaannya. “Ini adalah salah satu tanggungjawab yang perlu digalas oleh setiap pemimpin,” tambahnya. Beliau yang berpengakap sejak 1999 itu mula menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin apabila Unit Pengakap Kelana Daerah Keningau pada tahun 2007 sehingga kini. “Sekarang masih lagi bergiat dalam unit berkenaan walaupun telah dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Sook,” katanya. Bagi Sunarti Massa, 33, yang baharu sahaja menerima tauliah watikah Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Keningau Unit Pengakap Muda turut berbesar hati atas pencalonan berkenaan. Jelasnya ia adalah sebagai pengiktirafan kepada usaha dan sumbangan yang telah diberikan kepada pasukan Pengakap Negeri Sabah. “Sudah siapa sahaja yang menerimanya berasa teruja dengan pengiktirafan dan ini adalah salah satu pembangunan semangat untuk terus berkhidmat serta memimpin generasi muda dalam pergerakan ini. “Walaupun tanggungjawab yang akan dipikul adalah sesuatu yang berat, tetapi dengan kerjasama dan tunjuk ajar yang telah diberikan serta akan diberikan oleh pihak kepimpinan pengakap, semuanya akan dapat dilaksanakan,” katanya. Sementara itu, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kemabong Jasri Joe berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepadanya dalam pergerakan pengakap terutamanya di Kemabong. “Saya berterima kasih dan tidak percaya kerana diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab mentadbir dan membentuk hala tuju pengakap daerah Kemabong walaupun kekurangan pengalaman. “Namun, daripada penganugerahan ini saya amat terharu dan berbangga kerana khidmat serta sumbangan sebagai ahli pengakap diiktiraf,” katanya. Beliau yang sudah 12 tahun berkhidmat dalam pergerakan pengakap sebagai seorang pemimpin, merasakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin adalah satu tugas yang besar. “Ini maknanya bukan setakat menyarung pakaian seragam pengakap tetapi perlu dinamik dan praktikal. “Dalam kepimpinan mesti ada misi, visi dan semangat, jiwa kepengakapan perlu disemat di dalam hati,” katanya. - Tamat

Share via

Share