"Where There Is Love, There Is Peace" Climate Action Program Bulan Keamanan Sedunia Tahun 2019

"Where There Is Love, There Is Peace" Climate Action Program Bulan Keamanan Sedunia Tahun 2019

Pada hari ini semperna Sambutan Bulan Keamanan Sedunia 'International Day of Peace', Pengakap Kumpulan 21 SK Larkin (satu)  telah mengadakan Program Bulan Keamanan Sedunia "Where There Is Love, There Is Peace". Program ini bertujuan untuk memupuk kecintaan ahli pengakap terhadap kebersihan dan keceriaan kawasan setempat, cintakan Alam sekitar, merapatkan hubungan persaudaraan antara ahli dan sebagai tanda cintakan keamanan yang dikecapi selama ini.

Seramai 8 orang pemimpin dan penolong  pemimpin pengakap kanak-kanak dan 42 orang ahli pengakap kanak-kanak telah terlibat dalam program ini. Program ini bermula pada Jam 7:45 pagi sehingga 12.00 tengahari. 

Program dimulakan dengan sesi taklimat sebelum bergerak menuju ke masjid. Ahli pengakap dibahagikan kepada 4 kumpulan dan diwakili oleh 2 orang guru. Setelah bersedia, semua peserta bergerak menuju ke masjid dalam keadaan yang tersusun dan teratur. Apabila sampai ke masjid, semua peserta mengutip bahan buangan dan memasukkan bahan buangan mengikut kategori iaitu plastik, kertas dan lain-lain. Semua bahan buangan ini dikumpul daripada setiap kumpulan dan dimasukkan ke dalam satu beg sampah yang besar. Setelah selesai mengumpulkan bahan buangan ini peserta diminta untuk bergambar bersama-sama.  Selesai sesi bergambar, peserta bergerak semula menuju ke sekolah. 

Peserta bergerak ke sekolah dalam keadaan yang tersusun dan berhati-hati. Peserta seterusnya membersihkan kawasan longkang disekitar kawasan sekolah. Mereka bertungkus lumus membersihkan longkang yang tersumbat akibat perbuatan menusia yang tidak bertanggungjawab membuang bahan buangan di dalam longkang. Para peserta diberi nasihat agar tidak mengikut perbuatan dan sikap yang buruk tersebut. Setelah selesai mengumpul bahan buangan di kawasan sekolah, mereka berkumpul di padang sekolah untuk mengambil gambar bersama-sama. Peserta kemudian dibenarkan untuk menjamu selera di kantin sekolah

Aktiviti seterusnya adalah pertandingan mewarna poster bulan keamanan sedunia. Peserta diberi penerangan dan dibenarkan untuk mula mewarna. Masa yang diperuntukkan kepada mereka ialah 2 jam. Sementara peserta sedang mewarna, pihak SWM Environment telah membuka tapak pameran. Banyak barangan yang dihasilkan dari bahan buangan contohnya seperti kerusi yang diperbuat daripada tong dram terpakai, kerusi yang dihasilkan daripada kertas terpakai, dan kerusi yang dihasilkan daripada tayar terpakai. mereka juga mempamerkan maklumat tentang kitar semula. 

Tamat aktiviti mewarna, peserta diberi penerangan berkenaan kitar semula oleh penceramah dari SWM Environment iaitu Encik Shahrul Amir Bin Abd Rahman. Syarikat SWM Environment merupakan syarikat yang bertanggungjawab dalam melupuskan sampah di negeri Johor. Peserta didedahkan dengan statistik sampah yang ada di dalam Malaysia. Menurut penceramah, gambaran sampah yang terdapat di Malaysia pada hari ini sekiranya dikumpulkan adalah sama seperti luasnya negeri Perlis. Oleh yang demikian rakyat di Malaysia hendaklah bijak menguruskan sampah sebelum dibuang bagi memudahkan pihak berkenaan menguruskan pelupusan sampah. Penceramah juga mengingatkan kepada semua agar tidak melakukan pembakaran terbuka kerana ia akan mengakibatkan pencemaran udara seperti yang sedang berlaku di Malaysia pada masa ini. 

Sesi yang ditunggu-tunggu adalah mengumumkan pemenang bagi pertandingan mewarna. Guru Besar Sekolah Kebangsaan Larkin 1 telah dijemput bagi mengumumkan pemenang bagi pertandingan mewarna bulan keamanan sedunia. Setelah menyempurnakan pembahagian hadiah kepada pemenang, sekali lagi Guru Besar diminta untuk menyampaikan cenderamata kepada pihak SWM Environment dan seterusnya menutup program pada hari ini. 

Sebelum berakhir program ini, peserta diminta untuk menampal stiker jimatkan bekalan elektrik pada setiap suis yang terdapat di sekitar bangunan sekolah. aktiviti ini dijalankan dengan penuh meriah kerana peserta berebut-rebut hendak menyelamatkan sekolah daripada pembaziran elektrik disekitar kawasan sekolah. Peserta begitu bersemangat untuk menyelamatkan dan menjaga alam sekitar agar tidak tercemar. 

Number of participants
50
Service hours
300
Location
Malaysia
Topics
Personal safety
Communications and Scouting Profile
SDGS

Share via

Share