Transformasi Kampung Seberang Ramai
Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis, merupakan sebuah perkampungan yang rata-rata dihuni oleh para nelayan. Keadaan kampung yang agak kotor mengundang penyakit dan pandangan negatif terhadap para penghuninya.
Kampung yang terletak berhampiran kawasan kuala ini akan menjadi bertambah kotor apabila air laut pasang besar lalu membawa sampah dan mendap di bahagian bawah rumah.
Pelaksanaan ‘Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis’ yang dikemudikan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bertujuan mengangkat kawasan kampung tradisi nelayan berkenaan kepada sebuah destinasi pelancongan yang mempunyai potensi untuk dikembangkan.
Persekutuan Pengakap Negeri Perlis tidak ketinggalan bersama-sama menjayakan hasrat Tuanku Raja Muda dengan menyumbangkan tenaga kerja.
Antara aktiviti penambahbaikan dan pengindahan kampung yang dilaksanakan ialah mengecat dan mencantikkan laluan dan lorong berkonsepkan 3R dan dipasang papan-papan tanda mengenai kempen kesedaran awam serta Program Trash To Cash. Pelaksanaan program ini telah membawa bibit perubahan yang besar kepada masyarakat di kawasan Kampung Seberang Ramai apabila kampung ini diangkat menjadi salah satu tempat pelancongan di Perlis.
Hasil daripada pelaksanaan program ini semestinya membawa kesan positif terhadap masyarakat setempat secara khususnya dan secara umumnya telah menaikkan nama negeri Perlis. Sebuah kampung yang kotor kini telah menjadi bersih dan ceria serta menjadi tumpuan dan tarikan pelancong yang semestinya membawa manfaat dari sudut ekonomi kepada penghuninya.