
TIMBA ILMU KEHIDUPAN : KURSUS PENGURUSAN BENCANA ALAM PERINGKAT NEGERI 2018
Pada 6-9 April 2018, Seramai 40 orang ahli Pengakap yang terdiri daripada Pemimpin, Kelana dan Remaja dari negeri Kelantan, Terengganu, Perak dan Kedah telah menyertai dengan jayanya Kursus Pengurusan Bencana Alam Peringkat Negeri 2018 anjuran Jawatankuasa Pengurusan Risiko, Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Kelantan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Kelantan. Seramai 7 orang ahli Pengakap dari Negeri Terengganu yang terdiri daripada 2 orangn pemimpin dan 4 orang Kelana telah menyertainya. Kursus ini telah diadakan di Kem Kijang, Kelantan dan praktikal telah diadakan di sungai. Kursus ini juga telah diadakan selama 4 hari 3 malam.
Kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta berkaitan pengurusan bencana alam iaitu banjir khususnya. Antaranya termasuklah pengurusan di pusat pemindahan, pengurusan mangsa bencana alam, cara menyelamat di air, rawatan pertolongan cemas dan sebagainya. Semua peserta kelihatan gembira dan dapat menerima ilmu yang diberi oleh para fasilitator. Hal ini dapat dibuktikan apabila pihak Bomba berpuas hati setelah aktiviti simulasi menyelamat di air dijalankan di sungai. Dalam simulasi ini para peserta perlu menggunakan segala ilmu yang diberi dalam kerja-kerja menyelamat termasuklah menyelamat di air dan rawatan di darat. Program yang dijalankan secara teori dan praktikal ini dikendalikan oleh pihak Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan.