
Summer Camp Malaysia - Thailand
International Language Summer Camp Programme 2017 (Malaysia - Thailand) 2017 merupakan aktiviti yang dianjurkan oleh Kumpulan Latihan Kelanasiswa (KLKM) USM bersama murid-murid daripada negara Thailand yang berbeza latar belakang, daerah, pendidikan dan lain-lain lagi. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Encik Muhammad Ikram atau mesra dikenali sebagai Abang Jip yang merupakan fasilatator utama sekaligus wakil urus setia Summer Camp dari Thailand yang memberi peluang dan kepercayaan kepada kami untuk mengendalikan Summer Camp Programme di Universiti Sains Malaysia dan penghargaan ini turut ditujukan kepada Dr. Mohd Anuar bin Arshad yang merupakan Pengerusi Rancangan KLKMUSM yang sentiasa memberikan nasihat dan sokongan kepada kami. Penghargaan ini turut didedikasikan kepada semua ajk yang terlibat terutama Pengarah Projek merangkap Yang Dipertua KLKM USM iaitu saudara Muhammad Solahuddin Maula Abd Halim yang telah berusaha untuk memastikan program ini berjalan dengan lancar seperti yang telah dirancang sebelum ini. Objektif program ini adalah untuk mengasah bakat serta kemahiran kepimpinan dalam diri Majlis Tertinggi KLKM USM serta ahli kelana yang terlibat dalam menguruskan dan menjalankan aktiviti ini, meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid yang terlibat kerana kebanyakkan peserta kurang mahir berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, menyebarkan ilmu kepengakapan serta meluaskan lagi penggunaa kemahiran supaya dapat diaplikasikan oleh peserta dalam kehidupan seharian. Bukan itu sahaja, melalui program ini dapat mengeratkan silaturrahim antara dua buah negara (Malaysia-Thailand) melalui program kemasyarakatan seperti ini.
Aktiviti ini berfokuskan penerapan penggunaan Bahasa inggeris dan ketika aktiviti ini dijalankan, Bahasa inggeris akan digunakan. Selain itu, kerjasama ini adalah merupakan inisiatif yang baik bagi meluaskan lagi kemahiran berpengakapan kepada anak-anak muda yang terlibat dalam program ini. Latar belakang para peserta ini adalah berbeza, ada yang daripada keluarga bermasalah, masalah sosial dan lain-lain lagi. Namun, melalui program ini, dapat membantu mereka untuk menghargai kehidupan yang ada. Aktiviti yang dianjurkan oleh ahli KLKM USM ini berbentuk aktiviti survival iaitu ikhtiar hidup seperti masak nasi dalam kelapa dan roti lilit dengan menggunakan kayu api yang mereka cari sendiri. Pihak KLKM USM juga telah mengadakan Sukaneka kepada mereka dengan menggabungkan ahli KLKM USM Level 200 yang bertemakan Sukan Rakyat.
Sesungguhnya program ini memberi sejuta makna kepada kami kerana pihak kami diberi peluang setiap tahun untuk mengelolakan International Language Summer Camp Programme yang banyak memberikan pengalaman kepada kami dalam mengendalikan program yang melibatkan peserta dari negara luar sekaligus menguji kepimpinan dalam Pengakap Kelana iaitu ‘Berkhidmat’ dan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) iaitu “…graduan holistik dan seimbang, pemantapan tadbir urus, keunggulan global dan tranformasi pencapaian pengajian tinggi…”.