Menceriakan Hati Anak-Anak Yatim Dan Fakir Miskin
Pada 29 April 2017 bersamaan hari Sabtu, Program Bakti Pengakap Kelana Bersama Anak-Anak Yatim/Fakir Miskin telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim/Fakir Miskin Darul Akhyar (MAIDAM), batu Rakit, Terengganu. Program anjuran Pasukan Pengakap Kelana D Kuala Terengganu ini juga telah mendapat kerjasama daripada Pasukan Pengakap Kelana B Hulu Terengganu, Pasukan Pengakap Kelana A Marang dan Pasukan Pengakap Kelana Kumpulan Terbuka 88 Kuala Terengganu. Program ini disertai 50 orang peserta serta 25 orang pemimpin dan ahli kelana. Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengembirakan hati anak-anak yatim dan fakir miskin bahkan untuk merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain. Sesungguhnya berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Oleh itu, program ini turut diadakan supaya para pemimpin dan ahli kelana dapat merasai keperitan hidup anak-anak yatim dan fakir miskin. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah latihan komunikasi dalam kumpulan yang bertujuan untuk melatih cara berkomunikasi dengan baik, permainan imbangan bola tenis yang bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama dalam diri para peserta dan juga ceramah motivasi telah diadakan untuk menaikkan semangat para peserta. Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.