
Memorandum Persefahaman APM, SARES dan Pengakap Sarawak
KENYATAAN MEDIA MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) APM, SARES DAN PPMCS 02 OKTOBER 2017 (ISNIN)
1. Sekretariat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak iaitu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus menambah rakan strategik dalam usaha memperkasa pengurusan bencana di negeri Sarawak.
2. APM Negeri Sarawak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Perkhidmatan Komunikasi Radio Bencana Sarawak (SARES) untuk menambahbaik rangkaian komunikasi radio VHF dan HF yang sedia ada di seluruh kawasan negeri. Dalam majlis sama SARES juga menandatangani MoU dengan Persatuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak (PPMCS) sebagai melengkapkan jaringan sumber bagi menyokong struktur komunikasi kepada JPBN khususnya di kawasan pedalaman.
3. Dalam majlis menandatangani MoU itu APM Sarawak diwakili oleh Pengarah Kol (PA) Mohtar Bin Samat, manakala SARES pula diwakili oleh Presidenya Encik Joseph Siong Teck Cheun dan Pengakap pula diwakili oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sarawak Encik Sudarayo Osman. Majlis menandtangani MOU ini disaksikan oleh YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas Timbalan Ketua Menteri Sarawak selaku Pengerusi JPBN, hadir sama menyaksikan majlis MoU ini ialah YB Senator Datuk Prof. Dr Sim Kui Hian Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, YBhg Datu Jaul Samion Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar), YBhg Dato’ Dr Chai Khin Chung Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri.
4. YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Pengerusi JPBN merujuk, Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2017 (BKN2017) yang akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Sarawak di Kuching pada 08 Oktober ini akan diangkat menjadi template nasional dalam pengurusan bencana negara. Sehubungan dengan itu beliau selaku Pengerusi JPBN mengerakkan seluruh pihak, semua komuniti mahupun NGO terlibat secara langsung dalam kesiapsiagaan pengurusan bencana di negeri ini. Perkara ini menjadi agenda utama JPBN, iaitu untuk melibatkan seberapa ramai pihak khususunya komuniti setempat dan NGO dalam pengurusan bencana di negeri Sarawak.
5. Setiap kali bencana terjadi khususnya banjir, cabaran utama dalam proses pengurusan bencana adalah masalah komunikasi terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar.
6. Penyampaian dan perkongsian maklumat adalah elemen amat penting antara JPBN, agensi, pelbagai peringkat dalam kerajaan negeri mahupun orang awam semasa menguruskan bencana. Seringkali timbul isu dan cabaran disebabkan oleh halangan komunikasi. Berdasarkan keutamaan ini, Pengerusi mengarahkan Sekretariat APM mengambil langkah proaktif mengatasi masalah komunikasi ini. Perancangan masa terdekat, Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komuniti (CERT) akan dilengkapkan dari sudut latihan dan teknikal berkaitan radio amatur. Ahli CERT adalah ahli komuniti yang berada di lapangan dan mampu melaporkan kejadian bencana setempat dengan pantas melalui radio VHF dan HF.
7. Mengulas berkaitan majlis ini Pengarah APM Sarawak Kol (PA) Mohtar Bin Samat berkata MoU ini akan melengkapkan lagi kerjasama yang sedia ada sejak tahun 2013 antara APM dengan SARES. Tujuan MoU ini dibuat adalah untuk meningkatkan keupayaan JPBN dalam pengurusan bencana terutama dalam perkongsian dan penyampaian maklumat khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
8. Dalam masa terdekat APM, SARES dan PPMCS dalam perancangan dan akan berkolaborasi menyelaras semua aset dan sumber yang dimiliki dalam menyediakan platform kepada JPBN mengatasi halangan komunikasi di kawasan pedalaman. Langkah pertama adalah melengkapkan keperluan liputan radio VHF dan HF ke seluruh kawasan strategik. CERT dan komuniti yang dikenalpasti di kawasan ancaman bencana akan dibantu dalam aspek latihan dan teknikal berkaitan radio amatur.
9. Seramai 280 orang ahli SARES adalah pengendali radio amatur berlesen di kebanyakan bahagian di seluruh negeri. PPMCS pula mempunyai 14,545 ahli dan 50 ahli mereka adalah pengendali radio amatur berlesen, ahli ini akan bertambah mengikut perancangan persatuan. Berdasarkan kepada hubungan strategik ini dan kekuatan yang ada pihak sekretariat yakin keupayaan komunikasi JPBN dapat ditingkatkan.