Membina Jiwa Yang Kental di Ekpedisi Berjalan kaki- 16 km
Perkhemahan ekspedisi Pengakap peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah diadakan pada 01 Mac sehingga 03 Mac 2019. Tujuan perkhemahan ini untuk membina kekuatan dan jati diri ahli Pengakap untuk menghadapi cabaran serta mengasah kemahiran berpengakap ahli.
Perkhemahan ini disertai 60 ahli pengakap daripada 4 buah sekolah iatu SMK Mutiara, SMK Labuan, SMK Taman Perumahan Bedaun dan Sekolah Menengah Agama MAIWP Labuan. Dalam perkhemahan ini peserta diajarkan ilmu orientaring, membaca kompas dan peta. Kemahiran membuat anggaran menggunakan objek ringkas seperti tongkat dan pen, kemahiran tali dan ikatan untuk membina gajet selain daripada itu Kemahiran memasak menggunakan dapur ringkas dan kemahiran kawad tongkat. Peserta juga diajarkan tentang peraturan yang perlu diikuti apabila menjalankan ekspedisi seperti mematuhi undang-undang lalu lintas serta mengetahui akan peraturan luar bandar semasa menjalankan ekspedisi.
Pada hari kedua, Peserta mula berjalan kaki dari SMK Mutiara pada jam 0630 pagi melalui Jalan Kinabenua dan seterusnya ke Jalan Bukit Timbalai dan akhirnya tiba di Desa Tunas Hijau, Sungai Pagar pada jam 1028 pagi. Jarak perjalanan yang dilalui adalah sejauh 16 KM.
Setiap aktiviti yang dijalankan mengikut sistem berpatrol yang dapat menyerlahkan sifat kepimpinan , saling kerjasama antara rakan, saling menghormati , bersifat tabah dan sabar dan dapat menjalinkan hubungan yang harmonis dalam kalangan ahli berbilang bangsa dan agama. Pada malam pengakap pula, peserta menyerlahkan bakat dan sekaligus meningkatkan keyakinan diri dengan membuat persembahan di hadapan penonton.
Pengerusi Program Negeri iaitu Skipper Angela Joseph menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sepanjang perkhemahan ini, terutama kepada Dato’ Seri Haji Mohd Allias Bin Haji Abdul Rahman , Labuan Liberty Port Management yang menyediakan tapak perkhemahan yang selesa dan lengkap dengan kemudahan asas di Desa Tunas Hijau, Ybhg Datuk Haji Harris Tan Bin Haji Annuar Tan daripada Asian Supply Based Sdn. Bhd. yang menyediakan perkhidmatan Ambulans semasa aktiviti berjalan kaki ,serta semua individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung untuk menjayakan perkhemahan ini .Majlis penutup dan penyampaian sijil disempurnakan oleh Skipper Rosni bin Daud ,Penolong Pesuruhjaya Pengakap Negara, dalam ucapan beliau mengucapkan syabas dan tahniah pada semua peserta yang dapat menamatkan perkhemahan ini dengan jayanya, beliau berharap ahli pengakap tidak akan berhenti setakat perkhemahan kali ini tetapi terus menimba ilmu dalam berpengakap dan meningkatkan kemahiran diri masing-masing sehingga mencapai tahap tertinggi untuk menjadi seorang Pengakap Raja.