Lawatan Amal Kebajikan Komuniti
LABUAN,13 MAC 2017- BP Guild WP Labuan dengan kerjasama Marrybrown WP Labuan telah mengadakan Lawatan Amal Kebajikan ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti pada hari ini. Rombongan yang diketuai oleh Puan Hajah Rokiah Hj Ibrahim Pengerusi BP Guild W.P Labuan, bersama YBhg Dato’ Sri Hj Mohd Alias bin Abdul Rahaman, Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri, YBhg Datin Sri Dato’ Norsiah binti Abdullah, Penaung BP Guild W.P Labuan dan YBhg Encik Hong Heng Chee Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri W.P Labuan. Ketibaan rombongan ini disambut oleh Tuan Hj Arno Wong So, yang merupakan Timbalan Pengerusi, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti yang juga merupakan Timbalan Pengerusi BP Guild W.P Labuan.
Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk melawat pelatih-pelatih di pusat ini yang merupakan anak-anak kelainan upaya (OKU), meraikan dan menghiburkan pelatih. Di samping itu, ahli BP Guild Labuan dapat berkongsi pengalaman penjagaan kanak-kanak kelainan upaya yang ada di pusat komuniti tersebut. Disamping itu juga, kehadiran YBhg Datin Sri Norsiah Binti Abdullah telah menyampaikan hadiah kepada pelatih-pelatih di pusat tersebut.
Dalam kemeriahan lawatan ini, Dato’ Sri Hj Mohd Alias Bin Abdul Rahman yang merupakan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri,W.P.Labuan, turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti. Beliau sangat berbesar hati dapat turut hadir dan dapat melihat sendiri anak-anak kelainan upaya ini diberi bimbingan dan dilatih mengikut keupayaan mereka.
Marrybrown Labuan yang merupakan rakan kerjasama BP Guild W.P Labuan, telah menambah kemeriahan lawatan ini. Kehadiran “Chipmunk”mascot Marrybrown serta pelbagai aktiviti yang menarik diatur oleh staf Marrybrown Labuan telah membuatkan kanak-kanak terhibur. Selain itu, juga Marrybrown Labuan meraikan Hari Jadi kanak-kanak di pusat ini.