Jelajah Keamanan Kelana Sabah Bersatu 2019

Jelajah Keamanan Kelana Sabah Bersatu 2019

Jelajah Keamanan Kelana Sabah Bersatu sempena Sambutan Bulan Keamanan pada tahun ini telah bermula pada 23 September sehingga 27 September yang lalu. Jelajah yang telah berlangsung selama 5 hari menyaksikan Arkana Rovers, Banzai Rovers dan Delta Rovers Kinabatangan Sabah (Kelana Sabah Bersatu) menyusuri 5 buah sekolah sekitar Kinabatangan yang dimulakan dengan SK Jaya Baru, SK Bukit Garam II, SK Singgah Manis, SK Kuala Suan Lamba dan SK Kampung Suan Lamba.

Aktiviti yang telah dijalankan bersama Pengakap Kanak-Kanak (PKK) dan Pengakap Khas (PKhas) di setiap sekolah termasuklah membuat panji keamanan (rovers), pertandingan kolaj keamanan, pertandingan mewarna poster keamanan dan pertandingan membuat kad ucapan keamanan.

 

22 September 2019

Pada 22 September, seramai 11 orang rovers daripada Banzai Rovers dan 2 orang daripada Arkana dan Delta Rovers telah berkumpul di SK Jaya baru untuk persediaan jelajah keesokan harinya. Kami telah bersama-sama membuat panji keamanan yang akan dibawa sepanjang Program Jelajah Keamanan nanti. Sebanyak 3 buah panji dibuat menggunakan kain dan Warna Pelaka. Panji yang membawa mesej keamanan dan program sambutan bulan keamanan 2019 telah diwarnakan dengan warna hijau dan ungu.

 

Selain itu juga, kami telah membersihkan sekitar kawasan sekolah serta telah mengumpulkan botol-botol plastik terpakai untuk dihantar ke pusat kitar semula. Botol-botol tersebut diasingkan mengikut saiz, diikat dan disusun untuk tujuan pengangkutan nanti. Lebih kurang 400 buah botol plastik terpakai telah dapat dikumpulkan pada hari tersebut.

 

23 September 2019

 

Destinasi pertama ialah SK Jaya Baru Kinabatangan, di mana seramai 25 orang peserta berdaftar yang terdiri daripada pemimpin dan ahli pengakap sekolah telah menjalankan pertandingan kolaj keamanan. Kolaj yang berbentuk merpati putih merupakan logo inisiatif ‘messengers of peace’ pengakap telah dikolajkan dengan berbagai kertas bewarna oleh para peserta. Selain itu, sedikit taklimat tentang Bulan Keamanan Sedunia dan inisiatif ‘messengers of peace’ juga telah disampaikan oleh pasukan rovers kepada para peserta yang hadir pada hari tersebut.

 

24 September 2019

 

SK Bukit Garam 2, Kinabatangan merupakan destinasi kedua Jelajah Keamanan Kelana Sabah Bersatu. Di sini, terdapat dua kumpulan pengakap iaitu Pengakap Kanak-kanak dan Pengakap Khas. Aktiviti pertandingan mewarna poster keamanan telah dijalankan dengan mereka dengan penyertaan sebanyak 41 orang yang terdiri daripada pemimpin dan ahli pengakap daripada kedua-dua unit tersebut. Seramai 9 orang pengakap kelana dari Arkana Rovers serta 4 orang dari Banzai Rovers telah turut serta dalam program tersebut.

 

 

26 September 2019

 

Pada hari ketiga Jelajah Keamanan Kelana Sabah Bersatu, SK Singgah Manis menjadi destinasi pilihan di mana 24 orang peserta yang terdiri daripada pemimpin dan ahli pengakap telah berkongsi mesej keamanan di dalam satu program, iaitu pertandingan membuat kad ucapan keamanan. Berbagai-bagai mesej yang telah dapat dikumpulkan dan beberapa kad terpilih telah diberikan peluang untuk berkongsi mesej di hadapan majlis.

 

27 September 2019

 

Hari terkahir Jelajah Keamanan Kelana Sabah Bersatu telah merentasi lebih kurang 90KM ke sekolah pedalaman iaitu SK Kuala Suan Lamba. Di sekolah ini, rombongan kami disambut meriah dengan 21 orang peserta berdaftar sedia menjalankan aktiviti yang telah dirancang. Aktiviti mewarna poster keamanan telah berjalan selama lebih kurang satu jam sebelum perkongsian tentang bulan keamanan dan inisiatif ‘messengers of peace’ pengakap diterangkan kepada peserta.

 

Destinasi kedua pada hari ini ialah SK Kampung Suan Lamba di mana jaraknya lebih kurang 10KM daripada SK Kuala Suan Lamba yang merupakan destinasi sebelumnya bagi Jelajah Keamanan kami. Seramai 29 orang peserta berdaftar yang terdiri daripada pemimpin dan ahli pengakap kanak-kanak menyambut meriah kehadiran kami. Pertandingan membuat kad ucapan keamanan telah dijalankan serta sedikit taklimat ringkas tentang bulan keamanan dan program yang telah dijalankan.

 

Penutup

 

Seramai 174 peserta telah berdaftar untuk mendapatkan lencana ‘Messengers of Peace’ dan lebih 200 peserta telah menyertai program tersebut di keseluruhan lokasi program. Jumlah perjalanan sekitar 210KM untuk ke setiap lokasi termasuk perjalanan pulang.

Pasukan Pengakap Kelana ‘B’ Udara Banzai Rovers serta Arkana Rovers dan Delta Rovers, bersama Kumpulan Pengakap Kanak-Kanak 09, 10, 13, 25, 27 dan Pasukan Pengakap Khas 31 mewakili Kelana Bersatu Sabah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program jelajah ini.

 

Started Ended
Number of participants
174
Service hours
6264
Location
Malaysia
Topics
Personal safety
Partnerships
Youth Engagement
Youth Programme

Share via

Share