
Jambori Kuala Lumpur 2016_Bertugas sebagai urusetia dan Ketua Pasukan Petugas IPG Teknik
Jambori Pengakap Malaysia Ke-13 dan Jambori Antarabangsa Pengakap Kuala Lumpur 2016 telah berjaya dijalankan dari 25 November 2016 hingga 1 Disember 2016. Jambori pada kali ini berjaya mengumpul hampir 7000 peserta dari dalam dan luar negara.
Untuk jambori kali ini, saya sekali lagi menggalas tanggungjawab sebagai ketua kepada 28 orang petugas dari IPG Kampus Pendidikan Teknik. Segala urusan pendaftaran petugas, kemas kini butiran, tempahan tshirt khas untuk kumpulan petugas IPG Kampus Pendidikan Teknik, pertanyaan butiran maklumat petugas, tempahan kenderaan telah dimulakan pada awal tahun ini sehingga pada hari pendaftaran petugas di tapak jambori. Walaupun tugas seorang ketua tidak mudah dan sering menghadapi halangan dan cabaran, namun sokongan pensyarah pembimbing dan barisan ahli jawatankuasa yang selalu memberi kerjasama dengan baik amat membantu dalam menjayakan penyertaan kami dalam aktiviti jambori pada kali ini.
Tahniah kepada semua petugas IPG Kampus Pendidikan Teknik kerana dapat memberi komitmen dalam bersama-sama menjayakan jambori pada kali ini dan semoga segala pengalaman dan ilmu pengetahuan yang dipelajari dalam jambori kali ini dapat dijadikan kenangan terindah dan termanis dalam dunia pengakap anda.
Semoga kita jumpa lagi dalam aktiviti pengakap yang akan datang. Selamat Maju Jaya.
Selain daripada tugas sebagai ketua kumpulan, dalam jambori kali ini saya telah diberi tugas sebagai urusetia. Dengan ini, saya amat bertuah kerana diberi kepercayaan dalam bersama-sama menjayakan Majlis Perasmian dan Penutupan Jambori, urusan penyediaan kits jambori dan bertugas di kaunter pertanyaan. Dengan pengalaman kali ini, saya juga berpeluang berjumpa dengan ahli-ahli pengakap dari luar negara dan berinteraksi dengan mereka. Selain itu, aktiviti pertukaran lencana dan penglibatan dalam aktiviti-aktiviti khas juga merupakan pengalaman yang menyeronokkan untuk pengalaman jambori pada kali ini.
Walaupun dalam pelaksanaan tugas saya mungkin masih mempunyai kekurangan lagi, namun secara keseluruhannya saya amat bersyukur kerana diberi peluang dan kepercayaan untuk bertugas dan bersama-sama menjayakan jambori kali ini. Dengan pengalaman pada kali ini, saya berharap pada masa akan datang, saya akan terlibat dengan lebih banyak aktiviti dan berpengakap bersama insan-insan yang berjiwa pengakap di negara Malaysia ataupun di luar negara. Jambori kali ini diibaratkan satu titik nokhtah yang cukup indah dalam dunia pengakap saya bagi tahun 2016.
"Sekali Berpengakap, Selamanya Berpengakap!"