THE FUTURE OF ENERGY SCOUT GO SOLAR
Assalamualaikum dan Salam Pengakap,
Hari ini saya ingin menceritakan pengalaman saya menyertai Webinar The Future Of Energy Scout Go Solar. Webinar ini telah berlangung selama 3 hari iaitu bemula dari 18 Disember, 2020 Sehingga 20 Disember, 2020. Webinar ini telah berlangsung secara atas talian iaitu melalui aplikasi Microsoft Teams dan disiarkan secara langsung di Facebook Page Kumpulan Latihan Kelanasiswa RASMI. Seramai 50 sehingga 55 orang peserta telah menyertai webinar ini yang merangkumi ahli kelana dan para pemimpin dari pelbagai institusi pendidikan tinggi yang berada di bawah negeri KLKM. Sebenarnya webinar ini adalah kesinambungan daripada Webinar Sub Program Earthtribe Peringkat Negeri KLKM yang telah berlangsung pada 16, 21 dan 28 Noember, 2020. Selain daripada Scout Go Solar Challenge terdapat juga 2 lagi program di dalam webinar ini iaitu Tide Turner Plastic Challenge dan Champion For Nature Challenge. Berbalik kepada Webinar The Future Of Energy Scout Go Solar, webinar ini mengandungi empat tema iaitu Matahari Adalah Sumber Kehidupan, Impak Matahari Pada Kesihatan dan Alam Sekitar, Kegunaan Tenaga Solar dan Go Solar!
Pada hari pertama, webinar yang telah dipengerusikan oleh Pn Hasnina Abdul Rahman telah bermula pada pukul 8.30 malam. Pada malam tersebut telah berlangsung dua tema iaitu Matahari Adalah Sumber Kehidupan dan Impak Matahari Pada Kesihatan dan Alam Sekitar. Dimulakan dengan Pengenalan Scout Go Solar dan diikuti dengan tema pertama iaitu Matahari Adalah Sumber Kehidupan. Pengenalan dan tema pertama ini telah disampaikan oleh Pn Nor Azlin Mat Noor. Daripada tema pertama ini, saya diterangkan tentang tenaga yang boleh dan tidak boleh untuk diperbaharui, diperkenalkan dengan tenaga solar dan diterangkan tentang kegunaan, kelebihan dan keburukan penggunaan tenaga solar. Diakhirkan tema ini, diterangkan pula tentang matahari dan jam matahari. Jam matahari ini boleh diaplikasikan semasa kita berada di dalam hutan atau di mana jua asalkan selagi terdapat cahaya matahari yang terpancar dan mampu untuk menghasilkan bayang tiang yang dipacak.
Tema kedua yang disampaikan oleh Tn Zahiran Hamzah iaitu Impak Matahari Pada Kesihatan dan Alam Sekitar pula, dalam tema ini saya diterangkan tentang lapisan ozon dan kepentingannya dan pendedahan bumi kepada cahaya matahari. Dibawah pendedahan bumi kepada cahaya matahari, diterangkan pula tentang sinaran ultra ungu dan kesannya terhadap bumi dan kulit manusia, tanda-tanda dan simptom strok haba, dehidrasi dan tanda-tandanya. Akhir sekali, diterangkan pula tentang kesan rumah hijau, punca kesan rumah hijau berlaku, perbezaan antara kesan rumah hijau semula jadi dan daripada aktiviti manusia dan kaedah untuk mengurangkan kesan rumah hijau. Apa yang saya boleh konklusikan daripada tema kedua ini secara ringkasnya, pendedahan cahaya matahari secara terus pada kadar masa yang lama boleh memberikan kesan yang negatif terhadap manusia dan sebenarnya manusia juga adalah punca kesan rumah hijau berlaku yang sekali gus menipiskan lapisan ozon dan membenarkan sinaran ultra ungu dan gas-gas berbahaya menumbusi ke bumi.
Pada hari kedua , webinar disambung semula dengan tema ketiga iaitu Kegunaan Tenaga Solar. Webinar ini disampaikan oleh Assoc Prof Ts Dr Mustaffar Ibrahim, Malaysian Scout Ambassador. Kami didedahkan dengan kelebihan tenaga solar. Rupa-rupanya solar terdapat 2 jenis iaitu termal dan fotovoltaik yang boleh digunakan secara langsung atau simpanan tenaga pertengahan (haba-elektrik). Turut diterangkan juga proses penghasilan elektrik daripada tenaga solar dan penggunaan tenaga suria secara fotovoltaik. Di akhir tema ini juga, kami didedahkan dengan solar suitcase box yang merupakan tempat penyimpanan sementara tenaga solar untuk kegunaan semasa keadaan darurat atau kecemasan dan cara membaca kompas dan peta.
Pada hari terakhir, temanya adalah Go Solar! Tema ini telah disampaikan oleh Pn Lau Hooi Lin, yang merupakan Malaysian Scout Ambassador pertama. Dalam tema ini kami diberikan penerangan tentang antara aktiviti yang boleh dilakukan di bawah lencana Scout Go Solar Challenge. Antara aktiviti tersebut adalah solar cooker pizza, seni dalam solar atau pun membuat ukiran pada kayu mengunakan cahaya daripada kanta pembesar, jam matahari (membuat jam dengan memacak kayu pada tanah ataupun mencucuk lidi pada pinggan polistrin), membuat diy kaca mata hitam, dan Copenhagen periuk solar. Ini adalah sebahagian aktiviti yang boleh dilakukan untuk mendapatkan lencana Scout Go Solar Challenge. Walau bagaimanapun, aktiviti kaca mata hitam adalah wajib untuk dilaksanakan.
Akhir sekali, saya berharap program Scout Go Solar Challenge ini akan dapat dijayakan dengan baik. Walaupun negara dan dunia amnya masih dilanda wabak pandemik covid-19. Selain itu, saya berharap ahli kelana dan semua warga pengakap dapat mempraktikan apa yang telah dipelajari daripada webinar dan program yang dianjurkan selepas ini dan semoga tiada berlakunya pembaziran sumber dan kerosakan alam sekitar yang disebabkan kerakusan manusia. Untuk penjelasan yang lebih terperinci anda boleh melayari Facebook Page Kumpulan Latihan Kelanasiswa RASMI kerana disitu terdapat rakaman webinar yang berlansung sebelum ini.