THE FUTURE OF ENERGY: SCOUT GO SOLAR
LAPORAN PROGRAM “THE FUTURE OF ENERGY: SCOUT GO SOLAR”
TARIKH : 18 – 20 DECEMBER 2020
MASA : 8.30 PM – 11.00 PM
TEMPAT : RUMAH MASING-MASING (Platfrom Microsoft Teams)
Nama saya Nurul Fatiha Binti Sohaimi. Saya merupakan ahli Pengakap Kelana di bawah KLKM UTHM. Pada 18 sehingga 20 December saya telah mengikuti program yang dianjurkan oleh Persatuan Pengakap Malaysia iaitu “The Future Of Energy: Scout Go Solar” yang dikendalikan oleh Puan Pengerusi Majlis iaitu Puan Hasnina Abdul Rahman. Beliau telah menceritakan sedikit sebanyak mengenai perjalanan aktiviti “Scout Go Solar (SGS)” dan tema-tema yang akan kami belajar sepanjang program ini berlangsung. Antara tema-tema yang kami perlu pelajari ialah Matahari Sumber Kehidupan, Impak Cahaya Matahari, Kegunaan Tenaga Solar dan dalam slot terakhir kami ialah “Go Solar” oleh duta-duta Pengakap Malaysia. Menerusi program yang saya sertaini ini, para pengakap akan mendapatkan sijil sebagai bukti kelayakan untuk menyertai “Scout Go Solar Challenge” dan seterusnya mendapat lencana SGS. Para pengakap juga dikehendaki menjawab kuiz yang disediakan oleh pihak penganjur kerana ia juga merupakan salah satu proses untuk mendapatkan kelayakan sijil penyertaan.
Pada 18 December 2020, Program ini telah pun dikendalikan oleh Puan Nor Azlin Mat Noor. Beliau telah banyak berkongsi tentang aktiviti-aktiviti yang dianjurkan dalam “Scout Go Solar”. Antara tema yang beliau kongsikan kepada kami ialah Matahari Sumber Kehidupan. Beliau telah menunjukkan kami cara-cara untuk kami mendapatkan lencana “Scout Go Solar”. Terdapat beberapa aktiviti-aktiviti menarik yang ditunjukkan sepanjang slot beliau seperti jam matahari, sumo solar dan sebagainya. Bukan itu sahaja beliau juga banyak menyampaikan ilmu pengetahuan tentang kepentingan Tenaga diperbaharui dan tenaga yang tidak dapat diperbaharui. Bumi mempunyai banyak tenaga yang boleh diperbaharui seperti cahaya matahari, biojisim, ombak, angin dan lain-lain serta tenaga yang tidak boleh diperbaharui seperti arang, petroleum, nuclear dan gas asli. Selain itu, pelbagai pengetahuan yang telah saya perolehi daripada mengikuti program ini. Antaranya, saya dapat mengetahui kepentingan matahari yang selama ini dapat membekalkan tenaga dan mampu diperbaharui. Tenaga ini juga sangat mesra alam dan tidak mencemarkan alam sekitar. Kos bagi tenaga ini juga rendah dan menjimatkan para pengguna daripada penggunaan tenaga elektrik yang mungkin bakal habis pada suatu hari nanti. Terlalu banyak inti pati yang beliau kongsikan bukan sahaja kebaikan malah keburukan penggunaan tenaga ini juga kami perolehi secara langsung daripada slot beliau.
Seterusnya, slot disambung dan dikendalikan oleh Tuan Zahiran Hamzah yang bertajuk Impak Cahaya Matahari. Penerangan dan perkongsian beliau sangatlah bagus dan jelas. Beliau menyatakan antara salah satu impak matahari kepada manusia ialah Matahari merupakan salah satu sumber vitamin D. Untuk pengetahuan, sinaran UVB dengan gelombang 290-320 nanometer mampu menembusi kulit yang terdedah untuk dipenuhi dengan vitamin D. Vitamin D serta kalsium penting dalam pembentukkan dan penjagaan tulang dan gigi yang sihat. Sinaran cahaya matahari juga mampu memberikan kesan buruk kepada seseorang. Antara impak sinaran cahaya matahari yang kuat mampu menyebabkan seseorang mengalami strok haba kata beliau. Slot beliau telah memberikan kesedaran kepada saya dan arakan-rakan Pengakap kelana bahawa sinaran matahari ini mampu memberikan manfaat namun mampu juga memberikan keburukkan.
Pada 19 December 2020, Program pada hari yang kedua ini berlangsung dengan tema 3 iaitu Kegunaan Tenaga Solar dan ia telah disampaikan oleh Prof Ts. Dr Mustaffa Ibrahim. Para pengakap Kelana telah diberikan sedikit sebanyak info mengenai fungsi panel solar. Beliau merupakan salah seorang wakil pengakap Malaysia yang mendapatkan kursus mengenai Scout Go Solar ini di luar negara. Beliau telah mengajar kami semua mengenai cara-cara untuk mendapatkan anggaran betul panel solar yang kami ingin pasangkan di suatu tempat. Dengan cara ini, ia dapat membantu kami (kelana) untuk menetapkan bajet yang betul dan tepat sebelum kami menjalankan projek kami.
Pada hari terakhir program iaitu 20 December 2020, Sepanjang Program “The Future Energy: Scout Go Solar” ini diadakan selama 3 hari, kami pengakap Kelana sangat bertuah kerana dapat bertemu dan mendengar nasihat-nasihat yang disampaikan oleh duta pengkap Malaysia yang pertama menghadiri kursus “Scout Go Solar” di luar negara iaitu Ms. Lau Hooi Lin. Beliau telah menyampaikan slot terakhir dengan tema terakhir program iaitu “Go Solar”. Beliau berpesan bahawa banyak perkara yang perlu ada dalam diri individu yang bergelar Pengakap bagi memastikan projek yang ingin jalankan berjaya, antaranya seperti kemajuan diri, keberanian, sikap baik hati dan sebagainya. Beliau juga sempat menceritakan pengalaman beliau ketika menghadiri kursus ‘Scout Go Solar’ di luar negara.
Sepanjang program ini dijalankan saya telah banyak menerima ilmu-ilmu yang bermanfaat berkaitan dengan solar yang sebelum ini tidak pernah saya dengari. Bukan itu sahaja, projek Scout Go Solar ini hendaklah digalakkan dan diadakan dalam semua pelosok insitusi negara bahkan sekolah bagi bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masayarakat bahawa betapa pentingnya tenaga ini kepada kita pada masa hadapan. Akhir sekali,saya ingin berterima kasih kepada pihak penganjur dan barisan kepimpinan Persatuan PengakapMalaysia kerana dapat menjayakan program ini kepada para Pengakap Kelana. Ia merupakan salah satu program yang mampu memberikan impak yang amat positif keoada para peserta untuk menjayakan projek ini dengan jayanya.