Faceshield Heroes; COVID19
25 Januari 2020 merupakan bermulanya kes pertama Covid19 di Malaysia. Pada 18 Mac 2020, perintah kawalan pergerakkan diumumkan setelah jangkitan Covid19 melebihi 500 kes. Maka, bermulalah kesibukan para pegawai perubatan mengendali penularan wabak ini. Setelah hampir seminggu perintah kawalan dilaksanakan, pihak Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar telah mula mengalami kekurangan kelengkapan PPE memandangkan bekalan baru masih tidak diterima dikala penggunaannya makin meningkat.
Hasil semakan dan perbincangan dengan pihak HTF, mereka memerlukan seberapa banyak yang mungkin 'faceshield' atau pelindung muka memandangkan ianya merupakan peralatan pakai buang yang digunakan bagi melindungi para petugas daripada jangkitan. Bagi meringankan bebanan pihak HTF, pihak Pengakap Kelana Perlis telah menyusun organisasi bagi menyelaras projek Faceshield Heroes bermula dari mencari dana, membuat rekabentuk seterusnya mendapatkan pembekal bahan-bahan yang diperlukan.
Hasil dari projek ini, pihak Pengakap Kelana Negeri Perlis telah berjaya membekalkan sebanyak 2200 keping faceshied kepada para petugas HTF. Perkara ini telah membantu para petugas HTF memberi fokus sepenuhnya dalam mengawal penularan wabak ini disamping pihak Kelana Perlis berada dibelakang mereka memenuhi keperluan mereka.
Projek ini membuktikan bahawa pengakap sentiasa wujud dalam setiap keadaan bagi membantu semua pihak walau ada ketikanya pengakap hanya sekadar berada di sebalik tabir. Namun, walaupun begitu, kesungguhan dan komitmen para pengakap yang telah diasuh dengan 'menolong orang setiap masa' sentiasa bersedia walaupun dengan secebis keringat dalam membantu meringankan bebanan sesiapa sahaja.