![[ MAFUS PROJECT ] NAFAS YANG BARU KEPADA PENDUDUK KAMPUNG](https://s3sdghub.s3.eu-west-1.amazonaws.com/core-cms/public/styles/media_image_large/public/images/posts/WhatsApp%20Image%202020-10-12%20at%209.18.39%20PM.jpeg?itok=xyvJMpJn)
[ MAFUS PROJECT ] NAFAS YANG BARU KEPADA PENDUDUK KAMPUNG
Alhamdulillah, hampir 8 bulan saya dan ahli kumpulan saya berjaya menyiapkan Madrasah Hj Senik Kg Pak Limah Salor. Semua ahli kumpulan saya memberi komitmen dan kerjasama seratus peratus sepanjang hampir 8 bulan ini. Oleh sebab itu, segala urusan dan perjalanan kami dalam menyiapkan madrasah ini dipermudahkan dan berjalan dengan lancar. Dengan wujudnya kumpulan seperti ini senang untuk saya merangka jadual tugasan dan membahagikan tugas. Mereka memberi kerjasama sepenuhnya.
Cabaran dalam tempoh menyiapkan madrasah ini, sangat luar biasa. Cabaran pertama bagi saya adalah dalam pengurusan masa, kerana terpaksa membahagikan masa dalam menyiapkan madrasah dan masa belajar. Pada awal pembinaan madrasah itu, saya terpaksa ulang alik setiap minggu dari Perak ke Kelantan, dan Kelantan ke Perak dengan masa perjalanan 8jam, saya cuba bahagikan masa saya dengan baik. Alhamdulillah dengan menjayakan projek ini pembelajaran saya tidak terjejas. Selain itu, masalah kewangan. Masalah yang agak mencabar bagi saya untuk mencari sponsorship. Walaupun tugas bendahari, tetapi saya juga turut turun padang membantu dan menguruskan apa yang patut. Alhamdulillah, dengan berkat kesungguhan kami dalam menyebarkan poster, walk in kedai ke kedai, ke sekolah setiap minggu, syarikat-syarikat dan banyak lagi, kami mendapat sumbangan dari banyak pihak seperti sekolah-sekolah di daerah Pasir Mas Kelantan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK), Masjid Gertak Lembu Salor Kota Bharu Kelantan, MH Mohd Industries Sdn. Bhd, Izzat Gadget dan banyak lagi.
Seterusnya pada 18 Mac 2020 kami dikejutkan dengan kes penularan wabak covid 19 di seluruh negara, termasuk Malaysia dan Kerajaan Malaysia terpaksa membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimana semua orang tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti-aktiviti luar rumah, tidak dibenarkan berkumpul dan tidak dibenarkan untuk keluar rumah kecuali ada keperluan yang tidak dapat dielakkan. Kami terpaksa menanguh pembinaan madrasah ini hampir 4bulan. Kerana pada awalnya kami merancang untuk menyiapkan madrasah ini sebelum bulan puasa bertujuan untuk diguna pakai ketika solat terawih, kami hanya mampu merancang, tapi tuhan yang menentukan. Kami meneruskan semula pembinaan madrasah ini selepas Kerajaan Malaysia mengutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), iaitu pelonggaran syarat-syarat PKP tertentu untuk membuka semula ekonomi negara secara terkawal yang dijadualkan bermula dari 4 Mei. Kami dibenarkan untuk melakukan aktiviti luar rumah dengan mengikut SOP yg di tetapkan oleh kerajaan, dengan menjaga jarak dan memakai pelitup muka.
Perjalanan kami dipermudahkan, penduduk kampung juga memberi sokongan. Bukan itu sahaja, orang-orang cina di kampung itu juga turut memberi sumbangan dari segi kewangan dan barangan. Dengan pembinaan madrasah ini dapat memberi impak yang sangat luar biasa kepada penduduk kampung. Mereka tidak perlu lagi ke masjid/madrasah yang jauh. Pembinaan semula madrasah ini seperti memberi nafas yang baru kepada penduduk kampung. Mereka kembali berkumpul dan beraktiviti seperti dulu. Memberi keselesaan yang sebelumnya tidak ada tp kami wujudkan. Perasaan puas dan terharu saya apabila melihat madrasah yang terbiar dulu kini kembali memberi sinar keamanan kepada penduduk kampung itu.
Kumpulan kami juga mendapat impak yang luar biasa. Kami telah mendapat dan belajar banyak benda yang sebelum ini tidak kami sangka, kami dapat menjalinkan hubungan silaturrahim dengan penduduk kampung dan berhubung dengan ramai orang. Dan impak yang paling besar adalah kami menjadi inspirasi kepada belia dan pengakap di Negeri Kelantan.
Saya sebagai ketua projek berasa sangat bersyukur dan akan meneruskan perancangan masa hadapan bagi menghidupkan madrasah yang sudah lama terbiar ini. Kejayaan ini adalah kejayaan bersama dengan mempunyai ahli kumpulan yang sangat agresif dan semangat yang tinggi inginkan kejayaan. Saya berharap ukhwah di antara penduduk kampung semakin kuat dan hubungan silaturrahim terjalin antara satu sama lain.
"MADRASAH INI BUKAN UNTUK SAYA, BUKAN UNTUK DIA TAPI UNTUK KITA SEMUA"
MADRASAH FOR US (MAFUS)