Perkhemahan Kem Perdana Lencana Perkhidmatan (Semester 2) & Kepimpinan ( Semester 4)
PERKHEMAHAN LENCANA PERKHIDMATAN PENGAKAP KELANASISWA MALAYSIA UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM)
Persekutuan Pengakap Malaysia adalah satu pergerakan belia bertaraf antarabangsa untuk melatih golongan belia agar menjadi warganegara yang berguna. Latihannya adalah berdasarkan kepada Persetian dan Undang-undang Pengakap serta prinsip-prinsip asas yang telah diperturunkan oleh pengasasnya Lord Baden Powell of Gilwell. Persekutuan Pengakap Malaysia di Malaysia didaftarkan dan ditubuhkan dibawah akta Parlimen. Manakala Pasukan Pengakap adalah unit beruniform yang bergerak sebagai salah satu daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berhubung rapat dengan kalangan belia dan para pelajar di universiti awam dan swasta serta di sekolah-sekolah.
Matlamat sesuatu pergerakan adalah sebab disebalik kewujudannya. Matlamat untuk melatih generasi belia (Pengakap Kelanasiswa) bagi melahirkan individu yang berpotensi dari segi fizikal, intelek, sosial dan rohani serta tanggungjawab terhadap agama, masyarakat, negara dan seterus masyarakat antarabangsa berlandaskan cogankata Pengakap Kelana ialah “BERKHIDMAT” supaya Pengakap Kelanasiswa harus sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepada semua dan disamping itu juga berusaha untuk mendapat anugerah tertinggi dalam Pengakap Kelana iaitu Sijil Anugerah Baden-Powell (B-P Award).