VIGIL DAN PEMBERSIHAN PANTAI
Pada 28 - 29 September 2019, KLKM UIAM Kuantan telah menganjurkan program Vigil bagi ahli-ahli baru dalam pengakap di Kem Tango, Pekan, Pahang. Serentak dengan itu sebuah aktiviti pembersihan pantai bersempena bulan keamanan sedunia turut dijalankan dan disertai oleh 15 orang peserta dan 16 orang urusetia.
Dalam program vigil pada kali ini, para peserta didedahkan dengan asas-asas kepengakapan seperti persetiaan, undang-undang pengakap, simpulan dan ikatan asas, pengenalan kepada anugerah Baden Powell, cara memulakan api dan sebagainya. Vigil ini dianggap sebagai suatu titik permulaan bagi ahli baru dan istiadat meningkat naik bagi mereka yang pernah menyertai pengakap sebelumnya.
Bagi aktiviti pembersihan pantai, ia dirancang khusus bersempena bulan keamanan sedunia, iaitu bulan September. Ia juga selaras dengan motto pengakap kelana,iaitu 'berkhidmat'. Cogan kata ini bukan hanya tertumpu kepada khidmat kepada manusia malah kepada alam. Pembersihan pantai ini turut menginisiatifkan untuk membekalkan persekitaran yang lebih bersih kepada semua hidupan alam.
Diharapkan semua peserta vigil menerima manfaat dari program ini dan akan terus berpengakap dan mengorak langkah mendapatkan anugerah-anugerah yang disajikan dalam kepengakapan. Peserta dan urusetia juga diharap untuk terus berkhidmat, kepada manusia, binatang, tumbuhan seterusnya alam yang luas terbentang. Sekali berpengakap, selamanya berpengakap.