VIGIL & BEACH CLEANING - KEAMANAN
Pada 28 dan 29 September 2019, saya telah menyertai perkhemahan "Vigil & Beach Cleaning for Climate Action for Peace" anjuran KLKM UIAM Kuantan yang bertempat di Kem Tango, Pekan. Seramai 15 orang peserta turut sama menjayakan aktiviti perkhemahan ini. Pada hari pertama, kami telah diajar tentang sejarah pertubuhan pengakap, undang-undang pengakap, lagu pengakap, persetiaan pengakap dan beberapa ikatan dan simpulan. Kami juga telah diajar 'backwood cooking' dan beberapa 'survival skills'. Kami ditugaskan untuk memasak nasi dan sup ayam serta menyediakan roti lilit. Menjelang malam, 'scout night' dijalankan iaitu semua krew kelana dan peserta vigil berkumpul dan berkenalan antara satu sama lain. Scout night adalah aktiviti kegemaran saya kerana ia dapat mengeratkan persaudaraan antara ahli pengakap dengan mengetahui kerenah masing-masing. Keesokannya sekitar jam 4:30 pagi, kami dibawa ke pantai dan dibekalkan dengan sehelai kertas. Aktiviti ini merupakan aktiviti wajib bagi setiap vigil iaitu peserta diberi masa untuk berfikir, adakah mereka bersedia untuk menjadi seorang kelana ? Kita dapat berfikir dengan tenang dan lebih mendalam kerana ditemani bunyi deruan ombak dan hembusan angin pantai. Pada jam 7:10 pagi, kami melakukan aktiviti senamrobik beramai-ramai dan diteruskan dengan istiadat pagi dan pemeriksaan pagi. Bersempena dengan Bulan Keamanan, kami ditugaskan untuk melakukan aktiviti pembersihan pantai sebagai tanda kesedaran terhadap perubahan iklim yang berlaku. Kem vigil tamat pada jam 12:30 tengah hari. Krew kelana dan peserta mengambil gambar beramai-ramai sebagai tanda kenangan. Kini, saya bersedia untuk menjadi seorang pengakap kelana dengan moto "BERKHIDMAT" !