TURTLE HEROES

TURTLE HEROES

Kem Malaysia Prihatin Penyu merupakan anjuran Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Universiti Malaysia Terengganu bersama Pengakap Laut KLKM UMT dan dilaksanakan oleh Pasukan Pengakap Kelana C Kuala Terengganu. Program ini terdiri daripada 30 peserta dari pelbagai latar belakang seperti dari Pasukan Pengakap Kelana C Kuala Terengganu PPKCKT, Tuan Abdul Hadi bin Mohamed Zainal, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan (Kelana),Persekutuan Pengakap Malaysia dan Prof. Madya Ts. Dr. Haji Mustaffa bin Haji Ibrahim, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri PPM Negeri KLKM serta  pasukan MISC dari Kuala Lumpur sebagai penaja utama.

Program sukarelawan yang diperkenalkan oleh SEATRU memberi peluang kepada orang awam termasuk dari luar negara  terlibat secara langsung dalam pemuliharaan penyu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah rondaan pantai setiap jam pada waktu malam untuk mencari dan merekod semua kedatangan penyu, memantau proses penyu bertelur, menjaga sarang dari pemangsa, menanda dan mengukur penyu setelah penyu menyelesaikan proses bertelur, proses pemindahan telur, menganalisis sarang yang telah menetas, pembersihan pantai dan membantu dalam kerja-kerja penyelidikan.

Sukarelawan juga dilatih agar tidak mengganggu proses penyu bertelur dan kerana penyu sangat sensitif kepada cahaya, penggunaan cahaya di kawasan pantai adalah dilarang termasuk penggunaan cahaya kamera pada waktu malam. Ilmu ini sangat membantu sukarelawan dalam mengenalpasti sifat semulajadi haiwan tersebut.

Sukarelawan akan terlibat dengan aktiviti memeriksa sarang yang telah menetas atau diperam melebihi 45 hari yang bertujuan bagi memastikan kadar penetasan anak penyu dan untuk mengetahui punca telur tidak menetas untuk tujuan penyelidikan serta rekod.

Selain aktiviti pemuliharaan yang disusun oleh SEATRU, sukarelawan juga dibenarkan untuk melakukan aktiviti seperti snorkelling, mendaki Turtle Rock, berendam di Prawn Spa dan menikmati keindahan semula jadi di Pantai Chagar Hutang.

Di atas inisiatif Pasukan Pengakap Kelana C Kuala Terengganu untuk mengadaptasi ilmu kepengakapan serta atas tanggungjawab awam (public responsibility), pasukan ini membina sebuah “Outdoor Classroom” di Stesen Penyelidikan Alami Penyu. Projek “Outdoor Classroom” ini dibina untuk memberi kemudahan kepada para pembantu penyelidik memberi penerangan tentang penyu kepada sukarelawan dan pelancong yang datang ke Chagar Hutang. Projek ini telah berlangsung selama tiga bulan berturut-turut bermula bulan Julai, Ogos 2020 dan April 2021. Pasukan Pengakap Kelana C Kuala Terengganu juga memasang dan menggunakan tenaga solar bagi membekalkan tenaga elektrik kerana kemudahan elektrik di SPAP sangat terhad.

Di atas semangat kerjasama antara pengakap dan Seatru UMT, Pasukan Pengakap Kelana C Kuala Terengganu diberi peluang dalam menguruskan aktiviti kesukarelawan selama 3 hari 2 malam khas kepada pengakap Malaysia. Ahli-ahli pengakap yang berminat boleh menghubungi ppkckt@gmail.com untuk mendapatkan detail mengenai program ini.

Selain itu, Pihak Seatru UMT juga menawarkan program kesukarelawan ‘Turtle Heroes’ kepada sesiapa yang berminat dari luar dan dalam negara. Program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepentingan pemuliharaan penyu disamping merasai pengalaman kerja-kerja pemuliharaan penyu bersama penyelidik UMT.

Maklumat lanjut mengenai Program Sukarelawan ini boleh didapati di laman web SEATRU di alamat: https://seatru.umt.edu.my

Started Ended
Number of participants
1
Service hours
18
Location
Malaysia
Topics
Personal safety
Youth Programme
Youth Engagement
Legacy BWF

Share via

Share