Pendedahan Unit Beruniform Pengakap Kanak Kanak di SK Seri Tasek, Pulau Pinang
Pada 29 Ogos yang lepas, saya telah menerima tugasan dari guru-guru unit beruniform SK Seri Tasek untuk membantu mereka mengendalikan aktiviti kepengakapan buat ahli PKK tahun 4. Hal ini kerana, guru-guru kokurikulum agak sibuk menguruskan ujian segak buat murid-murid tahun 5 yang turut berjalan pada waktu yang sama. Oleh itu, saya yang sedang menghadiri Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di sekolah itu pada waktu itu, bersetuju untuk mengadakan permainan ringkas yang telah kami pelajari semasa KMK1 yang lepas. Pada pemerhatian awal saya, saya dapati murid-murid PKK tidak mengetahui perkara-perkara penting yang patut ada dalam pengakap seperti undang-undang pengakap, persetiaan pengakap dan lagu-lagu pengakap. Oleh itu, setelah bermain permainan kecil bersama mereka, saya dan rakan-rakan mengadakan sesi pendedahan berkenaan kepengakapan yang bertujuan mendidik PKK agar lebih berminat dan mengetahui sedikit sebanyak hal-hal kepengakapan. Kami menceritakan kisah hutan, lagu pengakap dan masakan hutan. Sesi yang berlangsung selama 2 jam ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada para PKK SK Seri Tasek.