GOTONG-ROYONG MADRASAH (MAFUS)
Syukur ke hadrat Ilahi, kumpulan kami telah berjaya melayakkan diri untuk menjalankan projek ini dengan adanya passport SWD. Kami mengambil langkah pertama dengan membuat gotong-royong membersihkan dan merobohkan madrasah ini. Gotong-royong ini berjalan dengan kerjasama para penduduk kampung dan beberapa orang ahli Pasukan Pengakap Kelana B-Blackflurry Pasir Mas yang lain. Kami menguarkan-uarkan tentang gotong-royong ini kepada orang kampung melalui poster dan membuat pengumuman melalui aplikasi WhatsApp kepada ahli pengakap yang lain. Kami berkumpul dan membahagi kumpulan dengan tugas masing-masing.
Kami membuang papan-papan dinding yang telah reput dan bahagian-bahagian yang tidak diperlukan dan meletakkannya di bahagian belakang madrasah agar tidak mendatangkan bahaya kepada masyarakat. Selain itu, kami membersihkan kawasan madrasah itu dengan menebas lalang-lalang dan rumput-rumput panjang yang tumbuh di sekeliling kawasan madrasah. Kami turut membuang peralatan-peralatan dan perabot yang ada dalam madrasah kerana kebanyakkannya sudah tidak boleh digunakan lagi. Kami mengumpul sampah-sampah di tempat pembakaran sampah dan membakarnya pada waktu yang sesuai supaya tidak mengganggu ketenteraman awam. Bukan itu sahaja, kami juga merobohkan dinding madrasah yang terdiri daripada batu-bata dan membuang serpihan-serpihan itu di tempat yang sesuai. Kerjasama antara pasukan pengakap dan penduduk kampung ini memberi kesan yang amat positif kepada diri kami semua kerana daripada sini, kami menjadi lebih mesra dengan para penduduk kampung.