SESI PEMBENTANGAN DAN PENILAIAN PROJEK PERINGKAT NEGERI (MAFUS)
Pada pertengahan bulan Ogos, kami mendapat makluman bahawa sesi pembentangan dan penilaian projek Scout of The World Award peringkat negeri akan berlangsung pada 5 September 2020. Ia merupakan satu hari yang sangat mendebarkan buat kami kerana penilaian ini merupakan tiket untuk kami meneruskan ke peringkat kebangsaan. Kami menyediakan kertas kerja, laporan projek dan dokumen-dokumen penting sebelum hari tersebut tiba. Kami membuat persediaan awal agar sesi pembentangan tersebut berjalan dengan lancar dan persediaan kami sebelum pembentangan ini kemas dan rapi. Kami juga menyediakan slide pembentangan dan video projek kami agar pembentangan kami dapat difahami dengan baik. Sesi pembentangan dan penilaian ini mengambil tempat di Dewan Darulnaim Kem Kijang, Kota Bharu, Kelantan.
Kami telah dinilai oleh 4 orang panel jemputan. 4 panel tersebut ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Kelantan iaitu Tuan Hj Mohamad Nadzree Bin M.Salleh, Pengerusi Program Pengakap Negeri Kelantan iaitu Tuan Sheriin Bin Shamsudin, Pengerusi Latihan Pengakap Negeri Kelantan iaitu Tuan Mohd Zulkifli Bin Sulaiman dan Naib Yang Dipertua Majlis Belia Negeri Kelantan iaitu Tuan Mohd Amin Bin Abdullah. Mereka mendengar dan meneliti pembentangan kami dengan tekun dan memberikan komen-komen yang membangun. Kami menerima setiap Komen dan nasihat dengan besar hati dan berfikir secara terbuka. Sesi pembentangan ini turut dihadiri oleh ahli Pengakap Kelana dari daerah-daerah lain. Kami juga mendapat sokongan dan kata-kata semangat daripada mereka.