THE JOURNEY OF MADRASAH FOR US PROJECT (MAFUS)

THE JOURNEY OF MADRASAH FOR US PROJECT (MAFUS)

     Pada 13 Februari 2020, saya telah menyertai bengkel Scout of The World Discovery (SWD) yang berlangsung selama 3 hari 2 malam. Bengkel ini mendapat penyertaan yang agak ramai iaitu seramai 60 orang termasuk saya. Peserta-peserta bengkel ini terdiri daripada ahli-ahli pengakap dan beberapa orang bukan pengakap bukan sahaja daripada negeri Kelantan malah ada yang datang jauh dari Johor, Pahang dan Terengganu. Saya mendapat makluman tentang bengkel ini melalui pengumuman dari aplikasi WhatsApp dan poster yang telah disebarkan di media sosial. Saya berasa amat teruja kerana impian saya untuk mendapatkan lencana Scout of The World Award (SWA) semakin cerah. Melalui bengkel ini, saya dapat mengetahui tentang Scout of The World Award dengan lebih mendalam dan didedahkan dengan pelbagai ilmu baharu yang berkait rapat dengan Scout of The World Award. Pada hari terakhir bengkel ini, semua peserta masing-masing diberikan passport SWA.

     Setelah mendapat passport SWA, saya dan beberapa orang rakan saya diserap masuk ke dalam kumpulan projek Madrasah for Us (MAFUS) atas komitmen yang kami berikan. Projek ini merupakan sebuah inisiatif daripada ketua projek kami iaitu Nur Yasmin yang menyedari tentang sebuah madrasah yang sudah lama terbiar di sebuah kampung yang bernama Kampung Pak Limah. Madrasah ini sudah lama tidak beroperasi dek kematian pengasas yang juga merangkap sebagai imam madrasah tersebut. Sabn hari, madrasah itu menjadi semakin tidak terurus dan diabaikan. Setelah menyedari tentang perkara ini, Nur Yasmin mula memikirkan sesuatu dan berpendapat bahawa madrasah ini sesuai untuk diadikan projek SWA. Beliau mula membentuk kumpulan yang terdiri daripada 3 lagi ahli kumpulan Pasukan Pengakap Kelana B yang lain. Namun, 2 orang lagi ahli kumpulan tersebut terpaksa menarik diri kerana hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Kumpulan ini diteruskan juga dengan pembentukan organisasi yang baharu. 

     Perkara pertama yang kami lakukan ialah mengadakan satu mesyuarat bersama penasihat projek kami iaitu Encik Hafiz Bin Jamaluddin untuk membincangkan tentang tindakan seterusnya yang perlu kami lakukan. Kami telah bersepakat untuk membuat lawatan ke tapak projek dan menemuramah penduduk kampung tersebut. Setelah mendapat beberapa aduan daripada penduduk kampung, kami yakin bahawa madrasah ini bakal memberi sinar baharu kepada masyarakat.

      Cabaran dan dugaan semasa membuat perancangan itu merupakan perkara biasa. Kami juga terpaksa menempuh pelbagai perkara yang agak mencabar semasa menjalankan projek ini. Antara cabaran yang kami hadapi adalah kekurangan sumber kewangan. Seperti sedia maklum, ahli kumpulan kami ini semuanya terdiri daripada pelajar. Jadi, kami tidak mampu untuk menanggung kos pembinaan tersebut. Namun, ia bukan satu alasan untuk kami berputus asa. Kami sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan wang bagi menjayakan pembinaan semula madrasah ini. Kami mengambil pelbagai inisiatif seperti memohon sumbangan daripada orang-orang awam dan pelbagai agensi, mengedar tabung di beberapa buah sekolah dan sebagainya. Kami juga menghadapi cabaran di mana setiap ahli kumpulan kami mempunyai komitmen-komitmen lain. Oleh itu, kami perlu bijak mengurus masa kami agar pembinaan semula madrasah ini tidak terhenti di pertengahan jalan. 

     Kesimpulannya, saya berharap agar Madrasah Haji Senik akan terus hidup dan memberi manfaat yang banyak kepada masyarakat. Saya juga berharap agar perjalanan projek kami ini mampu memberi inspirasi kepada para belia yang ingin menjalankan projek SWA. Ia bukanlah satu perkara yang mudah namun ia bukan satu perkara yang mustahil. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa dimana ada kemahuan, di situ ada jalan. Semoga madrasah ini menjadi asbab urusan kami semua dipermudahkan di dunia dan akhirat. Buat insan yang membaca coretan ini, doakan saya dan ahli kumpulan saya dapat merangkul kejayaan dalam Sesi Pembentangan dan Penilaian di Peringkat Kebangsaan nanti.

Topics
Personal safety
Youth Programme
Youth Engagement
Legacy BWF
Partnerships

Share via

Share