Salam Kedamaian Merentasi Labuan
LABUAN - Pada 28-29 April 2018 yang lalu, seramai 24 pemimpin pengakap termasuk saya telah menyertai kursus Koordinator Messengers of Peace (MoP) yang berlangsung di Labuan International School ( LIS ). Kursus ini telah dianjurkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia WP Labuan dengan kerjasama ( LIS ) dan jurulatih-jurulatih MoP Kebangsaan yang hebat diterbangkan khas dari Ibu Pejabat Pesekutuan Pengakap Malaysia dipimpin oleh Tuan Dr Amir Hamzah Bin Aman, Tuan Adha Fikris dan Cik Lau Yee Ting.
Kursus ini diadakan adalah untuk menyampaikan mesej " keamanan " kepada seluruh pemimpin pengakap Labuan serta peranan mereka sebagai " Utusan Keamanan " atau " Messengers of Peace ". Pengakap telah melangkah setapak dengan membawa mesej-mesej keamanan ini ke seluruh alam agar semua orang membuat baik pada setiap masa serta bersedia untuk berkhidmat dan berbakti kepada seluruh alam dan seisinya. Tugas menyebarkan keamanan ini akan digalas oleh Koordinator MoP yang telah mengikuti kursus ini untuk mempromosikan mesej keamanan ini kepada seluruh warga Labuan.
Antara aktiviti yang berlangsung iaitu sesi suai kenal, pelbagai jenis permainan, tepukan ( Break Six ), lagu-lagu MoP dan Tarian MoP yang mengandungi elemen Joget dan Inang. Antara pengisian lain sepanjang kursus ini termasuklah pendaftaran WOSM, kaedah memuat naik, pengiraan jam & Facebook MoP, gerak kerja berpangkalan, pengurusan MoP, hak cipta & harta intelek MoP, penyediaan kertas projek, pelan tindakan dan aku janji MoP.
Majlis Perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Yang Hormat Dato" Seri Mohd Alias Bin Abdul Rahman selaku Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri WP Labuan. Turut hadir pada majlis yang sama ialah Pesuruhjaya Kebangsaan Dr Amir Hamzah Bin Aman dan Skip Rosni Bin Mohd Daud.
Di akhir kursus ini, para peserta dianugerahkan lencana MoP, skarf MoP dan sijil pengiktirafan koordinator yang disampaikan oleh para tetamu jemputan. Para peserta juga turut beruntung kerana Yang Hormat Dato" Seri Mohd Alias Bin Abdul Rahman bermurah hati menghadiahkan topi MoP kepada semua peserta kursus.