Pembinaan Madrasah Fasa Pertama (MAFUS)
Proses pembinaan ini melibatkan kumpulan kami dan juga beberapa orang pemuda kampung yang sukarela untuk membantu kami. Terdapat seorang tukang rumah yang mahir dalam ilmu pertukangan iaitu Encik Haji Hassan yang mempunyai niat murni untuk memberi tunjuk ajar kepada kami tentang cara bertukang dengan betul. Kami memulakan pembinaan ini dengan membangunkan dinding madrasah. Encik Haji Hassan memberi penerangan kepada kami dengan sangat terperinci dan menunjukkan cara menggaul simen serta mengikat batu-bata. Beliau memberikan tips-tips penting kepada kami agar kami tidak melakukan kesalahan kerana proses pembinaan ini agak sukar dan mempunyai risikonya yang tersendiri.
Setelah mendapat penerangan dan diberi tunjuk ajar, kami mengambil tindakan seperti yang telah kami pelajari. Walaupun ahli kumpulan kami juga terdiri daripada perempuan, kami juga turut turun padang dalam proses pembinaan ini kerana ia tidak mustahil bagi seseorang perempuan untuk menjalankan proses pembinaan. Hal ini kerana proek ini merupakan satu projek berkumpulan. Jadi, wajarlah untuk kami melakukan kerja-kerja buruh juga.
Walaupun cuaca agak terik, ia tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan proses pembinaan ini. Seorang wanita yang merupakan penduduk kampung ini telah menyediakan makanan dan minuman kepada kami walaupun dia sedang uzur. Hal ini membuatkan kami lebih bersemangat dan terus berusaha kerana beliau juga telah memberi inspirasi kepada kami.