MADRASAH FOR US (MAFUS)

MADRASAH FOR US (MAFUS)

Madrasah For Us atau dikenali sebagai MAFUS merupakan sebuah projek SWA bagi sebuah kumpulan daripada Pasukan Pengakap Kelana B - Blackflurry Pasir Mas. Kumpulan ini terdiri daripada saya dan 7 lagi rakan-rakan saya yang lain. Madrasah ini mengambil tempat di Kampung Pak Limah, Salor, Kota Bharu, Kelantan. Madrasah ini tidak lagi beroperasi setelah kematian imam yang juga merupakan pengasas bagi madrsah ini iaitu Haji Senik. Madrasah ini telah menjadi tempat untuk anjing-anjing liar berteduh. Ia menjadi semakin parah apabila anjing-anjing liar tersebut mula untuk membiak di dalam madrasah ini. Pada mulanya, kami mengadakan satu mesyuarat bersama penasihat kumpulan kami untuk membincangkan tentang cadangan projek kami ini. Beliau telah bersetuju dengan cadangan kami dan memberi nasihat serta pandangan beliau kepada kami sebelum kami memulakan projek ini. Setelah itu, kami menetapkan tarikh untuk membuat lawatan ke tapak projek. Kami berasa sangat teruja dan tidak sabar untuk memulakan projek ini kerana ia merupakan suatu projek yang amat berguna kepada masyarakat setempat. Seterusnya, kami dan penasihat kumpulan kami membuat lawatan ke tapak projek kami untuk meninjau kawasan tapak projek kami. Oleh itu, kami dapat mengetahui apa yang perlu kami baiki dan tambah baik. Setelah membuat tinjauan dan bersetuju bahawa madrasah ini sesuai untuk dijadikan sebagai sebuah projek SWA, kami bertemu dengan tuan tanah madrasah ini untuk meminta kebenaran menjadikan madrasah ini sebagai projek SWA kami. Di samping itu, kami juga menemu ramah beberapa orang penduduk Kampung Pak Limah dan menyatakan hasrat kami kepada mereka untuk membangun semula Madrasah Haji Senik yang telah lama terbiar ini. Mereka menyatakan bahawa mereka berasa amat bersyukur dan gembira kerana madrasah ini mempunyai jarak yang sangat dekat dengan kediaman mereka. Jika madrasah ini kembali hidup, mereka tidak perlu lagi pergi ke masjid kampung sebelah untuk menunaikan ibadah secara berjemaah. Mereka juga dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara satu sama lain. Setelah mendapatkan respon yang begitu positif, kami menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan projek ini sehingga ke penghujungnya.
Number of participants
1
Service hours
6
Location
Malaysia
Topics
Legacy BWF

Share via

Share