Labuan Komited Mempromosikan Mesej Keamanan
Seramai 24 pemimpin pengakap di Labuan telah menyertai Kursus Koordinator Messengers of Peace (MoP) yang diadakan pada 28 hingga 29 April 2018 di Labuan International School, Wilayah Persekutuan Labuan. Kursus ini adalah hasil kerjasama antara Persekutuan Pengakap Malaysia dan Labuan International School. Tiga orang jurulatih khas telah diundang untuk membimbing para peserta sepanjang dua hari berkursus iaitu Dr Amir Hamzah Bin Aman, Tuan Adha Fikris dan Ms. Yee Ting. Ketiga-tiga jurulatih tersebut sangat komited dalam memberikan ceramah, penerangan, bimbingan serta motivasi kepada para peserta.
Program ini dimulakan dengan sesi suai kenal antara sesama pemimpin pengakap, diikuti dengan sesi pengenalan MoP, SWA dan WSEP. Selain itu turut diadakan sesi pendaftaran WOSM serta penerangan tentang pengiraan jam perkhidmatan dan kaedah aplikasi muat naik projek dalam sistem WOSM. Para peserta juga didedahkan dengan strategi pengurusan MoP pada peringkat kumpulan dan daerah. Malah para peserta diberikan peluang untuk menyumbang idea bagi menyediakan dan membentang kertas projek.
Banyak imput hasil perkongsian daripada aktiviti pembentangan yang diadakan kerana para peserta berpeluang menyuarakan pendapat serta penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk merancang dan melaksanakan projek kumpulan masing-masing. Akhir sekali, beberapa pelan tindakan telah dihasilkan oleh para peserta sebagai panduan dan strategi untuk mempromosikan aktiviti MoP di Labuan.
Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri WP Labuan, Dato' Seri Mohd Alias Bin Abdul Rahman telah merasmikan majlis penutupan program. Pada majlis tersebut, semua peserta yang terlibat telah dianugerahkan lencana, skarf MoP serta sijil penyertaan. Dato' Seri Mohd Alias dalam ucapan beliau mengharapkan agar MoP di Labuan akan terus komited dalam menyampaikan dan mempromosikan mesej keamanan melalui pelbagai aktiviti yang dirancang untuk dilaksanakan.