Kedamaian Di Pulau Labuan (Messenger of Peace)
Utusan Kedamaian telah tiba di Pulau Labuan buat julung-julung kalinya oleh Persekutuan Pengakap Malaysia di bawah tajuk 'Koordinator Messenger of Peace (MoP)'. Kursus yang berlangsung selama dua hari satu malam ini telah diadakan di Labuan International School (LIS). Penceramah jemputan yang diterbangkan khas dari tanah besar semenanjung Malaysia merupakan seorang Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara bahagian MoP iaitu Yang Berbahagia Dr Amir Hamzah bin Aman dengan dibantu oleh dua orang penceramah lagi iaitu Tuan Adha Fikris dan Cik Lau Yee Ting.
Seramai 27 orang peserta telah mengikuti kursus ini. Selain dari makanan yang disediakan sangat sedap dan tempat berkursus yang kondusif, kami telah dapat mempelajari ilmu baru dalam bidang kepengakapan. Antara ilmu-ilmu yang dikongsi oleh para penceramah ialah Pengurusan MoP, Hak Cipta Logo MoP, Penggunaan Logo Mop, Penyediaan Kertas Kerja Mop, Strategi Mempromosi MoP dan banyak lagi.
Bermula dengan sesi suai kenal menggunakan nama tempat di Pulau Labuan iaitu Layangan, kami juga sangat terhibur dengan pengisian aktiviti sampingan yang kreatif dan aktif selain mencabar minda dan fizikal. Antara aktiviti sampingan yang diadakan adalah seperti Tepuk 'Six Styles of Break Free', permainan berkumpulan mengimbang bola ping pong, melukis lukisan bertemakan 'Peace', menyanyi dan menarikan Tarian MoP.
Sebelum ke acara penutup, kami dikehendaki merangka pelan aktiviti kedamaian (MoP) untuk dilaksanakan dalam jangkamasa 3 tahun bagi ahli-ahli Pengakap Kanak-Kanak, Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan seluruh penduduk Labuan jika mampu. Dengan cogankata 'Kami Buat Sehabis Baik", in sha Allah impian jadi kenyataan.
Majlis penutupan disempurnakan oleh tak lain tak bukan, Dato' Seri Haji Alias bin Abdul Rahman selaku Yang DiPertua Majlis Pengakap Negeri WP Labuan. Amanat disampaikan agar kami meneruskan perjuangan menyampaikan berita-berita kedamaian di bumi Labuan kepada seluruh ceruk dunia. Majlis diakhiri dengan persembahan tarian MoP dari semua peserta kursus dengan penuh keceriaan yang jelas terpancar di muka masing-masing. Kejutan kepada kami apabila Dato Seri dengan bermurah hati menyumbang sebuah Topi dan Wogel MoP kepada semua peserta di atas komitment yang ditunjukkan.
Semoga kedamaian tersebar luas seperti burung camar yang melebarkan sayapnya ke sana ke mari dengan bebas dan damai. In sha Allah..........